14/08/2026
✍Minda Presiden
𝗣𝗥𝗜𝗡𝗦𝗜𝗣 𝗞𝗘𝗞𝗔𝗟, 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗘𝗞𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗕𝗢𝗟𝗘𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗨𝗕𝗔𝗛
Dalam al-Quran ada perkara hukum yang tidak berubah.
Hukum iman tidak berubah. Percaya kepada Allah Taala, percaya kepada malaikat, percaya kepada akhirat tidak berubah. Mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, haji dan zakat tidak berubah.
Begitu juga perkara yang berkait dengan fitrah manusia; menjaga nyawa, menjaga harta, menjaga keluarga dan anak-anak, menjaga akal. Perkara yang merosakkan akal diharamkan. Haramnya arak, zina dan membunuh orang tidak berubah.
Tetapi ada perkara yang berubah kerana kehidupan manusia juga berubah. Keadaan berubah, masyarakat berubah, teknologi dan kemampuan manusia berubah.
Al-Quran menyebut tentang mesyuarat, tetapi al-Quran tidak menyebut berapa orang ahli mesyuarat, sepuluh orang atau dua puluh orang. Itu mengikut keadaan. Allah memerintahkan kita menyediakan kekuatan untuk mempertahankan diri, tetapi tidak disebut panah, pedang, roket atau kapal terbang. Itu mengikut keadaan yang berubah.
Sebab itu pada zaman pemerintahan Umar radhiallahu anhu, keadaan memerlukan kemampuan berfikir dalam perkara baharu.
Nak berijtihad mesti orang yang memahami al-Quran dan memahami masalah semasa. Bukan sekadar tahu membaca. Kena tahu makna, maksud dan sebab turun ayat.
Hari ini ada yang terlalu keras, mengambil zahir nas semata-mata. Ada p**a yang terlalu mudah sehingga memilih-milih syariat mengikut kehendak sendiri.
Tetapi ada golongan ketiga: melaksanakan syariat sepenuhnya, mengkaji pandangan para ulama pelbagai mazhab mengikut zaman masing-masing, dan membuka pintu ijtihad dengan kaedah ilmu.
Inilah sebenarnya al-wasatiyyah, pertengahan yang adil.
Islam berpijak di atas dasar yang teguh, tetapi pelaksanaannya anjal. Fleksibel bukan bermakna meninggalkan Islam. Apabila keadaan berubah, kita kembali kepada asas dan tujuan syariat.
Pada masa yang sama, kita tetap istiqamah berpegang kepada ajaran Islam dan keadilan Allah dalam menangani masalah manusia.
𝘗𝘦𝘵𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘒𝘶𝘭𝘪𝘢𝘩 𝘋𝘩𝘶𝘩𝘢 7 𝘖𝘨𝘰𝘴 2026