31/08/2026
Kenyataan Presiden BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin. | 31 Ogos 2026
Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai langkah-langkah untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Mengembalikan semula had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan dan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun dijangka dapat membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan membantu perniagaan yang sedang bergelut dengan masalah kenaikan kos.
Langkah-langkah lain yang membabitkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah-sekolah berjumlah RM500 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan, akses kepada langganan perisian kecerdasan buatan untuk belia, penambahan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion untuk peniaga kecil dan geran RM200 juta untuk membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah diharapkan akan dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital serta merancakkan perniagaan khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Susulan daripada pengumuman langkah-langkah ini, adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu dan perniagaan yang layak.
Saya berharap langkah-langkah yang diumumkan ini akan disusuli dengan langlah-langkah lain yang lebih komprehensif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi Belanjawan 2027.
Ini termasuk mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.
TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
31 Ogos 2026