25/08/2026
Assalamu’alaikum wrth
Tanggalnya bulan Rabiul Awal, seluruh umat Islam kembali mengingati insan agung, junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Baginda bukan sekadar seorang nabi dan rasul, tetapi insan pilihan Allah SWT yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.
Tidak ada insan yang semulia Baginda yang terus dikenang oleh umat manusia sepanjang zaman. Tidak ada insan yang kehidupan, perkataan, perbuatan dan akhlaknya dicatat serta dipelihara dengan begitu teliti untuk menjadi panduan kehidupan manusia.
Sirah Baginda dipelajari, sunnah Baginda diamalkan dan akhlak Baginda dijadikan contoh oleh umat Islam dari generasi ke generasi.
Baginda SAW lahir ketika dunia berada dalam keadaan yang penuh kerosakan. Manusia kehilangan pedoman, akhlak semakin rosak, kezaliman berleluasa dan kehidupan jauh daripada petunjuk Allah SWT.
Dalam keadaan itulah Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW membawa cahaya Islam, membimbing manusia daripada kegelapan kepada cahaya iman dan daripada kejahilan kepada kehidupan yang berteraskan wahyu.
Allah SWT berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah Kami mengutuskanmu melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
(Surah al-Anbiya’: 107)
Kita bersyukur kerana Allah SWT memilih kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Namun, kecintaan kepada Baginda tidak cukup sekadar dengan menyambut Maulidur Rasul atau memperbanyakkan selawat.
Kecintaan yang sebenar ialah dengan mengenali sirah Baginda, membenarkan ajaran Baginda, menghidupkan sunnah Baginda dan menjadikan kehidupan Baginda sebagai panduan.
Kita juga mengharapkan syafaat Baginda SAW pada hari akhirat. Namun, harapan kepada syafaat mestilah disertai dengan usaha untuk menjadi umat yang benar-benar mengikuti ajaran Baginda.
Jangan kita mengaku mencintai Rasulullah SAW sedangkan sunnah Baginda kita tinggalkan, akhlak Baginda kita abaikan dan perjuangan Baginda tidak kita pedulikan.
Rasulullah SAW telah meninggalkan kepada kita al-Quran dan sunnah sebagai pedoman. Maka menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan agama, memperkukuhkan iman, membina keluarga yang soleh, memperbaiki masyarakat dan berusaha agar kehidupan kita sentiasa berada di atas landasan Islam.
Sebagai anggota dan pendukung gerakan Islam, kecintaan kepada Rasulullah SAW juga hendaklah diterjemahkan melalui kesungguhan meneruskan perjuangan dakwah, tarbiah dan menegakkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.
Rasulullah SAW mengajar kita bahawa perubahan masyarakat memerlukan kesabaran, pengorbanan, istiqamah dan keyakinan kepada pertolongan Allah SWT.
Marilah kita menjadikan Rabiul Awal bukan sekadar bulan mengingati kelahiran Rasulullah SAW, tetapi bulan untuk memperbaharui azam mengikuti sunnah Baginda.
Semoga rumah tangga kita dihiasi sunnah, masyarakat kita dibina dengan akhlak Rasulullah SAW dan perjuangan kita sentiasa berada di atas jalan yang diredai Allah SWT.
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kecintaan yang sebenar kepada Rasulullah SAW, kekuatan untuk mengikuti sunnah Baginda dan menghimpunkan kita bersama Baginda di syurga Allah SWT.
Selamat menyambut Maulidur Rasul SAW.
YB Datuk Ustaz Hj Idris bin Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
Ahli Parlimen Bagan Serai
12 Rabiul Awal 1448
25 Ogos 2026. fans