08/07/2026
𝐊𝐄𝐃𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐊𝐀𝐋 𝐃𝐄𝐒𝐓𝐈𝐍𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐁𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐌𝐏𝐄𝐓𝐈𝐓𝐈𝐅, 𝐑𝐄𝐊𝐎𝐃 𝐑𝐌𝟏𝟖𝟑.𝟕 𝐁𝐈𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐓𝐄𝐌𝐏𝐎𝐇 𝐋𝐈𝐌𝐀 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍
Kedah terus membuktikan keupayaannya sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM183.7 bilion sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap agenda pembangunan negeri yang diterajui menerusi gagasan The Greater Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pencapaian tersebut membuktikan asas ekonomi negeri kekal kukuh walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran geopolitik, hasil tadbir urus kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan yang komited dan mesra pelabur.
Menurut beliau, keyakinan pelabur terus diperkukuh melalui pelaburan tambahan syarikat AT&S sebanyak RM10 bilion di Kulim Hi-Tech Park, di samping pembangunan projek-projek strategik seperti Kulim Industrial Corridor, Kedah Rubber City, Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH-SBEZ), Delapan SBEZ serta Kedah Science & Technology Park (KSTP).
Bagi memastikan manfaat pelaburan dinikmati rakyat, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi Program Kedah Young Professionals dan penyediaan Kedah TVET Implementation Roadmap bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri.
Dalam aspek kebajikan rakyat, pelbagai inisiatif seperti Bantuan Beras Sejahtera, Bantuan Permataku Sejahtera, Bantuan Perubatan Sejahtera dan Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar terus diperkasakan, selain pelaksanaan projek Lot Desa Sejahtera yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa agenda pembangunan negeri akan terus diperkukuhkan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kedah dengan peruntukan sebanyak RM1.77 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat serta memacu kemajuan Negeri Kedah Darul Aman.