Sejarah Hutan

Sejarah Hutan Koleksi cebisan sejarah beberapa kawasan (atau bekas) hutan di Malaysia.

BUKIT DINDING, KUALA LUMPURBukit Dinding ialah bukit berhutan setinggi 291m (menurut Google Earth 2022: 302m) di Kuala L...
11/12/2022

BUKIT DINDING, KUALA LUMPUR

Bukit Dinding ialah bukit berhutan setinggi 291m (menurut Google Earth 2022: 302m) di Kuala Lumpur, terletak di antara Setiawangsa dan Wangsa Maju. Bagi penduduk setempat, ianya dianggap kawasan hijau terakhir di situ. Lokasinya berdekatan dengan Highland Tower (di sebelah timurnya, yang telah runtuh pada 11 Disember 1993) dan Bukit Antarabangsa, yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa.

Kronologi Sejarah (mulai zaman kolonial)

1850-an: Kawasan Perlombongan Gonggang

Sekitar 1850-an, kawasan lembangan Sungai Bunus (anak Sungai Klang) di barat daya Bukit Dinding yang dikenali sebagai “Gonggang” (sekitar Setapak kini) adalah antara pusat perlombongan bijih timah.

1867-1874: Lokasi Perang Klang

Kawasan sekitar Bukit Dinding, termasuk Ulu Gonggang (hulu Sungai Bunus) di sebelah barat, dan lembah Sungai Gisir di sebelah utara, menjadi antara lokasi Perang Klang (1867-1874).

1880-an: Awal Pentadbiran Kolonial British

Menjelang zaman kolonial British sekitar 1880-an, kawasan tersebut telah berkembang sehingga ke hulu Sungai Bunus di sebelah barat laut Bukit Dinding, iaitu di sekitar Wangsa Maju kini.

1889: Pembukaan Ladang Hawthornden

Pada Oktober 1888, Ladang “Ulu Gonggang” di Batu 5 Jalan Pahang Kuala Lumpur (di penghujung sebelah utara pusat perlombongan Gonggang) telah dibuka oleh J. A. Toynbee, bekas pengurus ladang Weld's Hill kepunyaan syarikat Messrs. Hill and Rathborne yang sedang giat membuka ladang-ladang kopi secara besar-besaran di kawasan sekitar itu. Ladang ini dinamakan sebagai Ladang Hawthornden. Ia berkembang ke timur/tenggara bersama Ladang Lincoln dan Aberscross, sehingga merangkumi hampir keseluruhan kawasan Bukit Dinding.

1900-1920: Ladang-Ladang Getah

Sekitar tahun 1903-1906, ia diambil alih oleh Loke Yew, dan diusahakan dengan lombong dan ladang getah. Sekitar tahun 1920, Gonggang Estate dibuka di sekitar Sungai Peran (anak Sungai Bunus), di sebelah selatan Bukit Dinding.

1965-09-04: Ladang Hawthornden Mulai Dimajukan

Pada 4 September 1965, kerajaan persekutuan telah mengumumkan perancangan sebuah perbandaran baru di Ladang Wardieburn, termasuk sebahagian kecil Ladang Hawthornden. Kemungkinan kawasan tersebut di sekitar Taman Bunga Raya kini.

1983-12-09: Bandar Baru Ladang Hawthornden: Wangsa Maju

Pada 9 Disember 1983, Pelan Induk untuk kawasan ini, dikenali sebagai Projek Pusat Pertumbuhan Bandar Baru Ladang Hawthornden, telah diluluskan. Sejak itu, Hawthornden Estate di sebelah barat Bukit Dinding mula dibangunkan menjadi Wangsa Maju, seksyen demi seksyen, iaitu Seksyen 1 (apartmen kos rendah), Seksyen 2 hingga 4 (apartmen kos sederhana), dan Seksyen 5 (rumah teres, apartmen dan kondominium).

1983-1995: Setiawangsa

Sepanjang tahun 1983-1995, kawasan Gonggang Estate di kaki dan lereng Bukit Dinding mula dibangunkan oleh syarikat Island & Peninsular (I&P) Group Sdn Bhd, kemudiannya dikenali sebagai “Taman Setiawangsa”. Peringkat terakhir pembangunan ini ialah Puncak Setiawangsa, dan disiapkan pada tahun 1995.

2008-05-15: Deraf Perancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020)

Dalam peta cadangan "Environmental Protection Zone" serta "Zoning", sebahagian besar Bukit Dinding telah pun dirancang untuk pembangunan kediaman (Residential).

2012-12-28: Tanah Runtuh Puncak Setiawangsa

Pada 28 Disember 2012, kejadian tanah runtuh telah berlaku di Puncak Setiawangsa. Di dalam kejadian itu, sebuah benteng konkrit di lereng bukit setinggi 43 meter (dibina tahun 1992) tidak berupaya menyekat gelongsoran tanah bukit tersebut, lalu sebahagiannya turut merekah dan runtuh.

2014-09: Pembangunan di Bukit Dinding

Pembangunan pertama di sebelah timur Bukit Dinding dimulakan oleh syarikat Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd sekitar September 2014. Walaupun menerima bantahan daripada penduduk setempat, projek tersebut tetap diteruskan dan telah diluncurkan pada 12 Ogos 2017, dan siap sepenuhnya pada tahun 2020. Dikhabarkan, semenjak itu kejadian banjir dan pencerobohan hidupan liar telah meningkat. Antara penduduk yang terkesan ialah rumah pangsa Kelumpuk Serindit, Keramat AU, dan sekitarnya.

2017-05-12: Rekahan di Puncak Setiawangsa

Berlaku rekahan di tebing Jalan 11/55C, Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa, iaitu lokasi sama berlakunya kejadian tanah runtuh tahun 2012.

2017-07: EIA Projek Wangsa Maju

Dalam tahun yang sama, Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi "Projek Wangsa Maju", yang dicadangkan di sebelah barat Bukit Dinding, oleh syarikat Nova Pesona Sdn Bhd.

2018-10-30: Pewartaan KLCP 2020

KLCP 2020 akhirnya diwartakan pada 30 Oktober 2018. Sebagaimana yang telah dicadangkan di dalam Draf KLCP2020 pada tahun 2008, sebahagian besar kawasan Bukit Dinding diwartakan sebagai kediaman (Residential). Selebihnya dilabelkan sebagai "Taman Rekreasi Bukit Dinding" di dalam peta "Hierarchy Public Parks and Open Space", serta "Zoning".

2020-02-18: Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040)

Di dalam Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, persempadanan Bukit Dinding masih tidak berubah, dan status "Taman Rekreasi Bukit Dinding" dinyatakan sebagai "Taman Kejiranan" ("Neighborhood Park").

2022-03-28: Kelulusan Pembangunan 2 Blok Pangsapuri

Pada 28 Mac 2022, cadangan pembangunan 2 blok pangsapuri oleh syarikat Nova Pesona Sdn Bhd telah diluluskan, sebagai kesinambungan kepada perancangan bandar sedia ada, dan disokong oleh laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environment Impact Assessment - EIA) pada tahun 2017 dahulu.

2022-09-15: Sesi Komunikasi Strategi Sebelum Pembinaan

Penduduk setempat sedang aktif membantah projek di atas. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, di dalam suatu perjumpaan para aktivis Bukit Dinding, 5 daripada 6 calon yang bertanding telah berjanji untuk bersama-sama penduduk dalam bantahan tersebut.

Sumber dan maklumat lanjut disertakan di dalam setiap lampiran.

Sejarah banjir besar di sekitar lembangan Sungai Langat, sejak zaman kolonial sehingga kini. Antara faktor utamanya seja...
24/10/2022

Sejarah banjir besar di sekitar lembangan Sungai Langat, sejak zaman kolonial sehingga kini. Antara faktor utamanya sejak dahulu ialah penebangan hutan berskala besar, untuk tujuan perlombongan, perladangan dan pembangunan.

HUTAN SIMPAN AYER ITAM (1906-kini)"Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) terletak 20 km dari Universiti Putra Malaysia (UPM), S...
24/10/2022

HUTAN SIMPAN AYER ITAM (1906-kini)

"Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) terletak 20 km dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang Selangor, 45 km dari kesibukan kotaraya Kuala Lumpur dan 25 km dari pentadbiran Putrajaya. Terletak di tengah-tengah bandar Puchong yang pesat membangun dengan kepadatan penduduk yang tinggi, di sinilah tersembunyinya 'Paru-Paru Hijau Lembah Klang' Hutan Simpan Ayer Hitam. Berkeluasan 1182.07 hektar, hutan ini masih kekal dengan kehijauan flora dan kepelbagaian faunanya. Di sini juga terletaknya Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) yang menguruskan segala aktiviti penyelidikan dan pendidikan di HSAH.

Terdapat 430 spesies tumbuhan berbiji, 33 spesies paku pakis, 127 spesies balak, 29 spesies buah hutan dan 121 spesies tumbuhan ubatan yang terdapat di hutan ini. Bagi kategori fauna, kira-kira 208 spesis burung, lima spesies primat, 15 spesies kelawar, 17 mamalia kecil tidak terbang, 10 spesies reptilia, 39 spesies katak dan 11 spesies ikan. Kepelbagaian spesies flora dan fauna di dalam hutan simpan ini telah mewujudkan satu ekosistem yang melengkapi dan saling menyokong antara satu sama lain.

Keunikan hutan ini bukan sahaja terhadap kepelbagaian flora dan faunanya, tetapi juga dengan kehadiran penghuni asal hutan simpan ini iaitu orang asli dari suku Temuan yang masih menggunakan hutan ini. Suku Temuan dari dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Rasau Hilir dan Taman Orang Asli Saujana Puchong dikatakan telah tinggal di dalam hutan ini sejak 400 tahun lamanya. Sehingga kini walaupun telah mengecapi arus permodenan, dan tidak lagi tinggal di dalam hutan, mereka masih menggunakan hutan ini untuk mengutip hasil hutan, menjalankan aktiviti keramaian dan upacara tradisi kaum mereka."

(Sumber: Mohd Naeem Abdul Hafiz Bin Mohd Hafiz (UPM), Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah (UPM), 12/08/2020: "Hutan Simpan Ayer Hitam & Geronggang" - https://www.majalahsains.com/hutan-simpan-ayer-hitam-geronggang/ ).

"The Ayer Hitam forest reserve in Puchong is one of the most precious tracts of remaining lowland dipterocarp forest in highly urbanized Selangor state. Originally covering 4270 hectares and gazetted as a forest reserve way back in 1906, it has suffered from a series of de-gazettements throughout the years, until it is now only some 1200 hectares. Even this is being reduced as I speak, as developers continue to quietly eat away at the borders of the reserve. The forest is now totally surrounded by "concrete jungle". The reserve is leased out to a nearby local university, University Putra Malaysia (UPM) since the 1990s, for 80 years, as a living "laboratory" for students to conduct research, but as I see it, its future is far from assured. Another tract of forest towards the north, the Bukit Cherakah forest reserve, has already suffered greatly from surrounding housing development despite being the nation’s Agro-Forestry Park, and is rapidly being whittled down to a few hundred hectares from its original 1300 hectares; the Ayer Hitam forest reserve will likely end up the same way as well." (JungleBoy @ RAINFOREST JOURNAL, August 10, 2012: "Ayer Hitam Forest Reserve, Puchong" - https://www.rainforestjournal.com/ayer-hitam-forest-reserve-puchong/ ).

Maklumat lanjut serta sumbernya, disertakan di dalam setiap lampiran.

Cebisan Sejarah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (19 April 1927 - kini(?)).
23/10/2022

Cebisan Sejarah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (19 April 1927 - kini(?)).

HUTAN SIMPAN BUKIT TUNGGUL (1910-kini)Bukit Tunggul terletak di antara Jenderam (kini dalam daerah Sepang) dan Bangi (ki...
23/10/2022

HUTAN SIMPAN BUKIT TUNGGUL (1910-kini)

Bukit Tunggul terletak di antara Jenderam (kini dalam daerah Sepang) dan Bangi (kini dalam daerah Hulu Langat). Ia merupakan mercu tanda kawasan sekitarnya sejak dahulu, dan telah dijadikan salah satu bucu sempadan di antara Selangor dan Negeri Sembilan pada tahun 1878, yang kekal sehingga kini.

Pada tahun 1891, penerokaan awal Jalan Rekoh(Bangi)-Sepang di sekitar Bukit Tunggul telah dijalankan oleh Mr. Van Royen, atas arahan H.F. Bellamy, Superintendent P.W.D. Selangor. Pada mulanya laluan denai dibina di sebelah timur Bukit Tunggul (1904), tetapi kemudiannya jalan dibina di sebelah baratnya. Jalan Rekoh(Bangi)-Jenderam-Salak-Sepang ini dibuka pada 1910, dan sedikit sebanyak kekal sehingga ke hari ini. Sekitar itu juga (Disember 1910), Hutan Simpan Bukit Tunggul telah diwartakan.

Menjelang tahun 1970, sebahagian besar hutan simpan di sebelah Negeri Sembilan telah pun dinyahwartakan, kebanyakannya untuk pembukaan ladang getah. Sementara itu, di sebelah Selangor p**a, Hutan Simpan Bangi (kira-kira 4km ke timur laut hutan ini) telah dinyahwartakan untuk tujuan pembangunan kampus induk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sekitar tahun 1974, sebahagian masyarakat Temuan di sana telah dipindahkan ke bahagian utara hutan ini. Namun pada tahun 1993, kawasan tersebut telah diambilalih p**a oleh sebuah syarikat swasta untuk pembinaan padang golf. Nama kawasan tersebut juga telah diubah kepada Bukit Unggul Golf Country Resort (BUGCR).

Kini, sebahagian daripada kawasan hutan yang tinggal, iaitu di sekitar laluan menara-menara pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membelah hutan itu, kini menjadi tumpuan aktiviti hiking dan juga sukan bermotor (cub cross). Ia kini lebih dikenali sebagai Bukit Berot (merujuk puncak Bukit Beirut, berhampiran puncak Bukit Tunggul).

Maklumat lanjut serta sumber maklumat disertakan di dalam lampiran-lampiran gambar.

Sejarah Hutan Simpan Bangi (1906 - kini, Hutan Simpan UKM).
17/10/2022

Sejarah Hutan Simpan Bangi (1906 - kini, Hutan Simpan UKM).

1896-07-06: "THE REKO WOODS"

Di dalam suatu laporan oleh Henry N. Ridley pada 6 Julai 1896, beliau telah mencadangkan penubuhan Jabatan Perhutanan di negeri Selangor, bagi mengawal selia penebangan serta pengeluaran hasil hutan. "The Reko Woods", suatu kawasan hutan yang belum diterokai seluas 10,000 ekar (4047 hektar) di sepanjang Jalan Reko-Sepang adalah antara beberapa kawasan hutan di Selangor yang telah dikenalpasti sebagai sumber berharga dan perlu dikawal rapi oleh jabatan ini. Antara spesis pokok yang ditemui di dalamnya ialah merbau, pauh kijang, petaling, tempinis, keranji, dan tembusu. Hasil usaha perintis ini, Hutan Simpan Bangi (dikatakan nama asalnya "Bukit Puteri"), seluas 2,338 ekar (946 hektar) akhirnya diwartakan kira-kira 10 tahun kemudian, pada 31 Disember 1906 (Nombor Warta: 827). Puncak tertingginya ialah Bukit Rupa setinggi 105 meter.

Urutan Peristiwa Seterusnya

1930-an: Ladang Prang Besar (~10km di sebelah barat hutan ini, kini Putrajaya) mendapat kelulusan untuk menanam anak getah di sebahagian kecil hutan ini untuk tujuan penyelidikan. Namun ianya tidak dapat bertahan lama akibat gangguan haiwan liar.

1942-1945: Zaman pendudukan Jepun. Sebahagian besar hutan ini telah ditebang, dan digantikan dengan tanaman "gutta perca" atau "nyatoh taban merah", sejenis getah berketahanan tinggi yang banyak digunakan sebagai kabel dasar laut serta peralatan lain di musim peperangan. Setelah perang tamat, tiada lagi kegiatan pembalakan di dalamnya, sehingga akhir 1960-an.

Akhir 1950-an: 4 keluarga Temuan berasal dari Bukit Dugang, Sepang, diketuai Batin Yut anak Jenang Pilis, mula menduduki kawasan hutan ini. Menjelang awal 1970-an, ia berkembang menjadi 22 keluarga, dengan jumlah ahli keluarga seramai kira-kira 100 orang.

Awal 1970-an: Dinyahwartakan sebagai tapak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keluasan hutan ketika itu ialah 882 hektar, dan terdiri daripada:-
- 832 hektar hutan sekunder
- 31 hektar paya air tawar, beralur kecil. Sebahagiannya anak Sungai Bangi di sebelah selatan, manakala sebahagian lagi (termasuk Alur Ilmu kini) mengalir ke Sungai Langat di sebelah utara.
- 19 hektar ladang.

1974: Pembangunan pesat UKM. Masyarakat Temuan dipindahkan oleh kerajaan secara beransur-ansur ke Sungai Buah dan Bukit Tunggul. (Sebahagian yang tinggal di Bukit Tunggul terpaksa berpindah lagi pada 1993 setelah ia dijadikan padang golf - kini Bukit Unggul Golf Country Resort).

Sekitar 1979: 27 hektar dijadikan tapak PUSPATI (Agensi Nuklear Malaysia), manakala 200 hektar dijadikan ladang penyelidikan PORIM (MPOB).

1993: 138 hektar diwartakan semula sebagai “kawasan hijau” universiti dan ditukar nama menjadi Hutan Simpan Kekal Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala bakinya dibangunkan secara beransur-ansur sehingga kini.

Gambar: Peta Hutan Simpan Bangi, 1970-an.

Sumber utama:-

1. Kamarudin Mat Salleh, 1999: "The Role and Function of Universiti Kebangsaan Malaysia Permanent Forest Reserve in Research and Education" - http://www.pertanika.upm.edu.my/view_archives.php?journal=JTAS-22-2-9 (Termasuk sumber gambar).

2. HIGH COMMISSIONER OFFICE, MALAYA, 06/07/1896 @ ARKIB NEGARA MALAYSIA: "REPORT ON THE FORESTS OF SELANGOR BY MR. RIDLEY. FORWARDS:-" - http://ofa.arkib.gov.my/ofa/collection/asset/1498805

3. Mohamad Samsudin, Norhayati Ahmad, Roslan Abd Shukor, 2016: "WARISAN VARSITI KITA: FOTOGRAFI DAN LANDSKAP UKM" -
https://www.researchgate.net/publication/282070988_Warisan_Hutan_Universiti_Hutan_Simpan_Kekal_Bangi

4. Dr Mohamed Salleh Lamry, 2005: "Mangsa Pembangunan: Orang Temuan di Sungai Buah dan Bukit Tunggul, Sepang, Selangor" - https://www.facebook.com/media/set/?vanity=azlan.sharif.7&set=a.1387523567930982

5. Dato’ Shaharuddin Ismail, 2012: "Nurturing Eco-Volunteers for UKM Sustainable Campus: A Case Study of the Rainforest Discovery Journey Programme" - http://conference2012.asiaengage.org/?page_id=524

6. Saiful Bahri Kamaruddin @ Universiti Kebangsaan Malaysia, 18 OKTOBER 2012: "Kaum Asli Perlu Dibawa Berunding Sebelum Sesuatu Projek Melibatkan Kehidupan Mereka Dilaksanakan" -
https://www.ukm.my/news/arkib-berita/tahun-2012/oktober-2012/kaum-asli-perlu-dibawa-berunding-sebelum-sesuatu-projek-melibatkan-kehidupan-mereka-dilaksanakan/

7. VD Nair, 1990-an: "The Story of Prang Besar Estate" -
http://www.arabis.org/index.php/articles/articles/plantation-history/the-story-of-prang-besar

8. Forest Research Institute Malaysia (FRIM), 2018: "Gutta percha, the untold story" -
https://www.frim.gov.my/gutta-percha-the-untold-story/

Laman ini memuatkan koleksi cebisan sejarah hutan-hutan di Malaysia, sama ada yang masih ada, masih bersisa, atau yang t...
17/10/2022

Laman ini memuatkan koleksi cebisan sejarah hutan-hutan di Malaysia, sama ada yang masih ada, masih bersisa, atau yang telah hilang sama sekali. Cebisan-cebisan ini adalah sebagaimana yang direkodkan dalam sumber-sumber setakat yang dapat diperolehi di Internet, dan disusun menurut kronologi peristiwa. Antara sumber utama ialah Arkib Negara Malaysia ( http://ofa.arkib.gov.my/ ), keratan-keratan akhbar di NewspaperSG ( https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ - arkib digital akhbar tempatan yang beribu pejabat di Singapura sejak tahun 1827, kelolaan National Library Board (NLB) of Singapore), serta MyRepositori ( https://upnih.pnm.gov.my/myrepo-public/welcome/content/browse-content/collection/22 - arkib digital akhbar tempatan, kelolaan Perpustakaan Negara Malaysia). Pada setiap peristiwa, selain ringkasan liputannya, ditambahkan juga beberapa catatan ringkas atau capaian mengenai perkara atau tempat yang berkaitan, berdasarkan makalah-makalah dan kertas kerja para ilmuwan dan pengkaji sejarah, setakat yang ada di Internet sahaja.

PENGAKUAN PENTING: KAMI BUKAN AHLI SEJARAH!

Perlu ditekankan, kami bukan ahli sejarah! Laman ini sekadar mengumpulkan cebisan maklumat berkaitan sejarah hutan-hutan tempatan, setakat yang dapat ditemui di ruang Internet sahaja. Maka pastinya ia amat tidak lengkap, tidak menyeluruh, dan kurang wibawa berbanding karya ilmiah hasil kajian para sejarawan. Perlu diingatkan juga, sumber-sumber yang dinyatakan di sini adalah dari pelbagai sudut pandang dan latar para ilmuwan, pengkaji, wartawan dan editor akhbar, bermula dari awal kurun ke-20 (zaman kolonial British), sehingga kini. Kami cuba menyampaikan kesemuanya secara objektif, namun perlulah juga diakui, terdapat juga kecenderungan kami sendiri, yang terserlah di dalam ulasan dan catatan kami. 😉

Apa pun, anggaplah ini sebagai usaha pemula sahaja. Selebihnya perlu digali dari sumber-sumber berwibawa yang lain, seperti karya-karya sejarawan, arkib-arkib perpustakaan, muzium, atau premis dan petempatan bersejarah (awam atau persendirian), termasuk juga sejarah lisan warga asalnya. Sebaiknya, semua usaha ini harus dirujuk atau diusahakan bersama para ahli/pakar bidang sejarah. Aktiviti sebegini seharusnya terus giat dijalankan dan disebarluaskan oleh sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan.

Gambar: Taman Negeri Royal Belum (Sumber: Wikipedia - https://ms.wikipedia.org/wiki/Taman_Negeri_Royal_Belum ).

Address

Rekoh
Bangi
43650

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Sejarah Hutan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share