29/06/2026
KENYATAAN MEDIA
WANG RAKYAT JANGAN DISALAH GUNA SEBAGAI MODAL POLITIK
Saya memandang serius dakwaan penyaluran RM3.06 juta kepada 17 kawasan DUN bagi tempoh Julai hingga September, sedangkan Dewan Undangan Negeri Sembilan telah dibubarkan.
Sekiranya dakwaan ini benar, Menteri Besar Negeri Sembilan perlu tampil memberikan penjelasan kepada rakyat. Persoalannya, mengapa hanya 17 DUN tertentu menerima peruntukan RM180,000 setiap satu? Apakah asas kelulusannya, dan mengapa ia dilaksanakan ketika tempoh pilihan raya?
Selepas pembubaran DUN, kerajaan seharusnya bertindak secara berkecuali serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa wang kerajaan digunakan untuk memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik.
Wang kerajaan adalah wang rakyat, bukannya milik mana-mana parti. Semua rakyat berhak menerima layanan yang adil tanpa mengira kawasan atau pegangan politik.
Sehubungan itu, saya mendesak Menteri Besar menjelaskan:
1. Asas kelulusan peruntukan RM3.06 juta ini.
2. Mengapa hanya melibatkan 17 kawasan DUN.
3. Sama ada peruntukan ini diluluskan sebelum pembubaran DUN dan mengapa ia disalurkan ketika tempoh pilihan raya.
Jangan sesekali menjadikan wang rakyat sebagai modal politik. Ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban mesti sentiasa diutamakan.
Mohamad Hanifah Abu Baker
-Ketua Badan Pimpinan
BERSATU Negeri Sembilan
-Mantan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Sembilan