11/05/2026
𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗠𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗔𝗠𝗔𝗟 & 𝗕𝗜𝗗𝗔𝗔𝗡 𝗞𝗔𝗥𝗬𝗔 𝗦𝗘𝗡𝗜 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗣𝗘𝗠𝗕𝗔𝗡𝗚𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗦𝗨𝗞𝗔𝗡 𝗠𝗦𝗡𝗣𝗣 𝟮𝟬𝟮𝟲 (𝗜𝗡𝗔𝗨𝗚𝗨𝗥𝗔𝗟 𝗚𝗔𝗟𝗔 𝗗𝗜𝗡𝗡𝗘𝗥 & 𝗔𝗥𝗧 𝗔𝗨𝗖𝗧𝗜𝗢𝗡 𝗙𝗨𝗡𝗗𝗥𝗔𝗜𝗦𝗜𝗡𝗚 𝗘𝗩𝗘𝗡𝗧)
GEORGE TOWN, 9 Mei 2026 – Majlis Makan Malam Amal & Bidaan Karya Seni untuk Tabung Pembangunan Sukan MSNPP 2026 (Inaugural Gala Dinner & Art Auction Fundraising Event) telah berlangsung dengan penuh meriah di Grand Ballroom, Eastern & Oriental Hotel, Pulau Pinang.
Majlis ini diserikan dengan keberangkatan hadir Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Majlis dimulakan dengan tayangan video montaj khas sebelum diteruskan dengan ucapan oleh Yang Berhormat Daniel Gooi Zi Sen, EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja serta sektor korporat yang telah tampil memberikan sokongan dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan negeri.
Antara penaja yang terlibat ialah VitaHealth Malaysia Sdn. Bhd., MM Century Sdn. Bhd., Akashichem Sdn. Bhd., Yayasan Bumiputera Pulau Pinang Bhd., BWYS Group Berhad, Professor Dr. Tan Yen Wooi, Solarvest Energy, Anoop & See, Puan See Swee Sie, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Penang Adventist Hospital, Lee Sportwear International Sdn. Bhd., Asia Green Construction, Sunway Medical Centre Penang, Pusat Latihan Pandu Cemerlang Sdn. Bhd., South Island Garment serta Dragon Alliance Sdn. Bhd.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyatakan bahawa penganjuran majlis ini membuktikan seni dan sukan mampu bergerak seiring sebagai medium pembangunan masyarakat secara holistik.
Menurut beliau yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, di bawah Belanjawan 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM7 juta kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) khusus bagi pembangunan atlet, selain tambahan RM7 juta kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang bagi tujuan menaik taraf fasiliti sukan negeri.
Majlis turut diserikan dengan pertunjukan lukisan secara langsung oleh Encik Koh Teng Huat, seorang pelukis kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang yang menampilkan hasil karya seni istimewa sepanjang acara berlangsung.
Penganjuran majlis ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah I.M.P.A.C.T, iaitu sebuah platform strategik yang diwujudkan bagi memperkukuh usaha pengumpulan dana melalui kerjasama sektor korporat, komuniti serta pelbagai pihak berkepentingan dalam mendukung agenda pembangunan sukan negeri secara lebih tersusun dan berkesan.
Turut hadir ialah Yang Berusaha Puan See Swee Sie, Pengerusi Majlis Makan Malam Amal & Bidaan Karya Seni; Yang Berbahagia Dato’ Seri Syed Mohamad bin Murtaza, Pengerusi Yayasan Bumiputera Pulau Pinang; Yang Berusaha Tuan Mohamed bin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan); Yang Berusaha Tuan Muhamad Ghopran bin Yeop Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan); Yang Berusaha Encik Andrew Loo Hoong Ern, Pengarah Akashichem Sdn. Bhd.; Yang Berusaha Encik Ashok Kumar a/l Rangayah, Pengarah MM Century Sdn. Bhd.; Yang Berusaha Dr. Beh Kheng Suan, Ketua Pegawai Eksekutif VitaHealth Malaysia & Singapore; serta Yang Berusaha Tuan Harry Chai Heng Hua, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.
''𝗠𝗲𝗺𝗮𝗿𝘁𝗮𝗯𝗮𝘁𝗸𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘂𝗻𝗴𝗴𝘂𝗹𝗮𝗻, 𝗠𝗲𝗿𝗲𝗸𝗮𝘆𝗮𝘀𝗮 𝗞𝗲𝗵𝗲𝗯𝗮𝘁𝗮𝗻: 𝗠𝗲𝗻𝗴𝘂𝗮𝘀𝗮𝗶 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗦𝘂𝗸𝗮𝗻''