17/07/2025
βOP KHAS (HALANGAN LALU LINTAS/LAWLESSNESS) OLEH BAHAGIAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK DAERAH (BSPTD) BENTONG
β
βBentong, bermula 13 Julai 2025 (Ahad) hingga 17 Julai 2025 (Khamis) | Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Daerah Bentong telah melaksanakan satu operasi dikenali sebagai Op khas (Halangan Lalu lintas/ Lawlessness) di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
β
βOperasi yang diketuai oleh ASP Mohd Lail Fajiri bin Ab Halim bersama (1) pegawai serta (6) anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bentong menumpukan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan halangan lalu lintas serta mengabaikan peraturan asas lalu lintas seperti pemakaian topi keledar semasa menggunakan motosikal disamping lain-lain kesalahan lalu lintas.
β
βHasil daripada operasi yang dijalankan sejumlah (650) buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak (320) keping saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Sebuah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Antara kesalahan yang dilakukan paling tinggi adalah kesalahan halangan lalu lintas, tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak memakai topi keledar bagi penunggang motosikal.
β
βOperasi ini dijalankan bertujuan untuk memastikan semua pengguna jalan raya patuh kepada peraturan lalu lintas dan memastikan kelancaran aliran trafik ekoran tindakan halangan lalu lintas oleh pengguna jalan raya yang boleh mengganggu aliran trafik menjadi sesak serta turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
β
βKetua Polis Daerah Bentong, YDH Supt. Zaiham Mohd Kahar memandang serius isu ini dan mengingatkan orang awam, khususnya berkaitan tindakan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan dikenakan tanpa kompromi. Operasi secara berterusan akan dijalankan oleh pihak PDRM bagi memastikan pengguna jalan raya khususnya di daerah Bentong mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.