04/06/2026
PENGUMUMAN RASMI
PERSATUAN SENI SILAT GAYONG MA'ARIFAT MALAYSIA (PSSGMM)
Persatuan Seni Silat Gayong Ma'arifat Malaysia (PSSGMM) ingin memaklumkan bahawa Dewan Perguruan & Adat Istiadat PSSGMM telah membuat beberapa keputusan berkaitan pengurusan keahlian dan pentadbiran persatuan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Pertubuhan serta peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.
Setelah meneliti pelbagai isu yang telah dibangkitkan dan mengambil kira kepentingan, nama baik, keharmonian serta integriti persatuan, Dewan Perguruan & Adat Istiadat PSSGMM telah memutuskan untuk mengambil tindakan tatatertib termasuk pemecatan keahlian terhadap individu-individu tertentu yang didapati tidak lagi memenuhi kehendak dan tanggungjawab sebagai ahli persatuan menurut peruntukan Perlembagaan PSSGMM.
Selain itu, hasil semakan dalaman yang dijalankan turut mendapati terdapat isu-isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan di peringkat cawangan yang memerlukan tindakan lanjut. Sehubungan itu, pihak PSSGMM telah mengambil keputusan untuk menggantung pengoperasian Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tempoh yang ditetapkan serta menamatkan pelantikan individu-individu yang terlibat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan PSSGMM.
Segala keputusan yang dibuat adalah hasil pertimbangan dan proses dalaman yang sewajarnya demi memastikan tadbir urus persatuan sentiasa terpelihara serta selaras dengan objektif penubuhan PSSGMM.
PSSGMM turut ingin menegaskan bahawa sebarang perkara yang melibatkan pihak berkuasa atau proses perundangan akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak yang berkenaan untuk ditangani mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, semua ahli, murid, penyokong dan orang awam adalah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, penyebaran maklumat yang tidak disahkan atau kenyataan yang boleh menjejaskan mana-mana pihak. Sebarang maklumat rasmi berkaitan PSSGMM hendaklah dirujuk terus kepada pihak pengurusan pusat persatuan.
PSSGMM akan terus komited dalam memelihara nama baik persatuan, memperkukuhkan perpaduan ahli-ahli serta memastikan segala aktiviti dijalankan secara profesional, berintegriti dan mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sekian, terima kasih.
DEWAN PERGURUAN & ADAT ISTIADAT
PERSATUAN SENI SILAT GAYONG MA'ARIFAT MALAYSIA (PSSGMM)
Bertarikh: 4 Jun 2026 @ 17:36