28/08/2026
Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Perkasa Warga Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
28 Ogos 2026 , Bentong – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Bentong telah menganjurkan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) khusus kepada pegawai dan kakitangan Pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam usaha membudayakan persekitaran kerja yang sihat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Program ini telah melibatkan seramai 50 orang peserta . Penganjuran ini memberi penekanan kepada peranan majikan dan pekerja dalam memastikan tempat kerja kekal selamat, produktif dan bebas dadah.
Sepanjang program, peserta telah mengikuti sesi ceramah berkaitan pelaksanaan 7 Langkah Tempat Kerja Bebas Dadah, yang dihuraikan secara terperinci seperti berikut:
Langkah 1: Komitmen dan kepimpinan pengurusan atasan sebagai tonggak utama dalam memastikan dasar bebas dadah dilaksanakan secara menyeluruh di tempat kerja.
Langkah 2: Penyediaan polisi serta penubuhan jawatankuasa pencegahan dadah di tempat kerja bagi merancang dan memantau pelaksanaan program secara sistematik.
Langkah 3: Latihan khusus kepada penyelia bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti serta menangani isu berkaitan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja.
Langkah 4: Pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran kepada pekerja bagi meningkatkan pengetahuan tentang bahaya dadah serta kepentingan gaya hidup sihat.
Langkah 5: Penglibatan dalam program komuniti sebagai usaha memperluas mesej pencegahan dan membina sokongan sosial yang positif.
Langkah 6: Penyediaan akses kepada program rawatan dan pemulihan bagi pekerja yang memerlukan bantuan, selaras dengan pendekatan pemulihan berterusan.
Langkah 7: Pelaksanaan integrasi semula ke tempat kerja bagi memastikan individu yang telah pulih dapat kembali bekerja dengan sokongan dan pemantauan yang sewajarnya.
Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan AADK bersama pihak majikan dalam memperkukuh budaya kerja sihat serta memastikan tempat kerja kekal bebas daripada ancaman dadah.
“Tempat Kerja Bebas Dadah Bermula Dengan Kita.”
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hubungi talian hotline AADK 1-800-22-2235(AADK) atau 019-626 2233 untuk khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan. Layari aadk.gov.my untuk mendapatkan informasi lebih lanjut.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
LIKE | COMMENT | SHARE