11/06/2026
CERAMAH KESELAMATAN KEBAKARAN DAN TAKLIMAT PENGUNGSIAN BANGUNAN TINGKATKAN KESIAPSIAGAAN KOMUNITI KIDURONG
BINTULU, 11 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong terus mempergiat usaha mendidik masyarakat melalui penganjuran Ceramah Keselamatan Kebakaran dan Taklimat Pengungsian Bangunan yang telah diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Plan Flat, Jalan Tanjung Kidurong, hari ini.
Program yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang itu berjaya menghimpunkan seramai 140 penduduk setempat, sekali gus mencerminkan komitmen dan kesedaran komuniti terhadap kepentingan aspek keselamatan kebakaran dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Ceramah tersebut telah dikendalikan oleh Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II) Rary Anak Binjie bersama anggota BBP Kidurong iaitu PBB Nazri Bin Joha, PBB Aiman Ahmad Aqil Bin Sahran dan PBB Carl Aldo Anak Sardi.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta diberikan pendedahan menyeluruh mengenai aspek keselamatan kebakaran yang merangkumi punca-punca kebakaran yang lazim berlaku di kediaman dan premis, langkah-langkah pencegahan yang berkesan, penggunaan peralatan keselamatan kebakaran serta tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku insiden kebakaran.
Selain itu, peserta turut mengikuti taklimat berkaitan prosedur pengungsian bangunan, termasuk kaedah mengenal pasti laluan keluar kecemasan, teknik pengungsian yang selamat serta tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan panik ketika berhadapan situasi kecemasan. Pendedahan ini bertujuan memastikan setiap individu lebih bersedia dan mampu bertindak dengan cepat, teratur dan selamat sekiranya berlaku kebakaran atau bencana lain.
Program tersebut telah berjalan dengan lancar, teratur dan mendapat kerjasama yang amat baik daripada semua peserta. Sambutan yang menggalakkan ini membuktikan bahawa kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan kebakaran semakin meningkat.
Melalui pelaksanaan program seumpama ini, JBPM komited untuk terus memperkukuh budaya pencegahan kebakaran dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan tahap pengetahuan awam mengenai langkah-langkah keselamatan yang betul. Usaha berterusan ini selaras dengan matlamat JBPM untuk melahirkan komuniti yang lebih berdaya tahan, responsif dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.
Diharapkan program seperti ini akan terus menjadi platform penting dalam menyampaikan ilmu keselamatan kebakaran kepada masyarakat, sekali gus membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda akibat kebakaran serta mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selamat, sejahtera dan berdaya tahan.