11/09/2025
Perkongsian Sistem eSMKerian Sempena Audit SejaTi MADANI Persatuan Penduduk Daerah Kerian
Parit Buntar, 14 Ogos 2025 – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian telah mengadakan sesi perkongsian mengenai Sistem eSMKerian bersama semua Pengerusi Persatuan Penduduk Daerah Kerian bertempat di Bilik Gerakan, PDT Kerian. Program ini diadakan bersempena dengan Audit SejaTi MADANI Daerah Kerian.
Mesyuarat dan perkongsian tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Puan Hajah Rabizah Hasni binti Muhamad. Seramai 30 Pengerusi Persatuan Penduduk hadir, disertai juga oleh penghulu-penghulu mukim dan wakil-wakil pemimpin setempat.
Dalam ucapannya, Puan Hajah Rabizah Hasni menekankan bahawa penggunaan Sistem eSMKerian merupakan satu langkah penting dalam memastikan pengurusan program SejaTi MADANI lebih sistematik, telus, dan mesra pengguna. Sistem ini bukan sahaja memudahkan pencarian serta pemantauan projek komuniti, tetapi juga mempercepatkan proses laporan dan penyaluran maklumat antara persatuan penduduk dengan pihak Pejabat Daerah.
“Sistem eSMKerian adalah inovasi digital yang dibangunkan khusus untuk menyokong pengurusan projek di bawah inisiatif SejaTi MADANI. Melalui sistem ini, kita dapat mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan dalam menyalurkan maklumat kepada semua pihak berkepentingan,” jelas beliau.
Para pengerusi persatuan penduduk yang hadir turut diberikan penerangan serta demonstrasi penggunaan sistem secara langsung. Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi ruang kepada wakil persatuan mengemukakan cadangan dan maklum balas.
Program ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara PDT Kerian dengan semua persatuan penduduk, di samping menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan SejaTi MADANI di daerah Kerian.