26/08/2026
26 Ogos 2026, Penaga- Pengurusan Jenazah Saudara Kita – Tanggungjawab Fardu Kifayah
Hari ini, Kompleks Darul Hidayah bersama Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Selatan (S.P.S.) dan pihak pengurusan Masjid Jamek Al-Ihsaniah, Simpang Ampat, S.P.S. telah melaksanakan salah satu tuntutan fardu kifayah, iaitu pengurusan jenazah seorang Muslim.
Situasi ini melibatkan keluarga arwah yang terdiri daripada ahli keluarga yang belum memeluk Islam. Wakil Kompleks Darul Hidayah telah memberikan penerangan kepada pihak keluarga berkaitan proses dan tatacara pengurusan jenazah seorang Muslim mengikut tuntutan syarak.
Pihak keluarga memahami penjelasan yang diberikan dan dengan penuh kepercayaan telah menyerahkan sepenuhnya urusan pengurusan jenazah untuk dilaksanakan dengan sebaik-baiknya mengikut kaedah dan tuntutan Islam.
Kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat ini merupakan salah satu bentuk khidmat kebajikan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan hak serta penghormatan terakhir seorang Muslim terus terpelihara.
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه
Ya Allah, ampunkanlah segala dosa arwah, rahmatilah beliau, sejahterakanlah dan maafkanlah segala kesalahannya. Tempatkanlah beliau dalam kalangan hamba-Mu yang beriman dan beroleh rahmat-Mu.
Semoga Allah SWT menerima segala amal kebaikannya, mengampuni segala kekhilafannya serta menempatkan arwah dalam rahmat dan keampunan-Nya. Al-Fatihah.