14/12/2025
*SAMBUTAN HARI KELUARGA UNIT BANTUAN UTARA TLDM (UBU TLDM)*
*Tarikh:* 8 – 9 Disember 2025.
*Tempat:* Jasnyta Cabin, Pendang, Kedah Darul Aman.
*Anjuran:* Unit Bantuan Utara TLDM (UBU TLDM).
Sambutan Hari Keluarga Unit Bantuan Utara TLDM telah berjaya dilaksanakan pada 8 hingga 9 Disember 2025 dengan penyertaan warga unit bersama ahli keluarga masing-masing. Program ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kekeluargaan serta memperkukuhkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan warga Unit Bantuan Utara TLDM.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Lt Kdr Syahrizan bin Abdul Razak TLDM, Pegawai Memerintah UBU TLDM serta diiringi oleh Lt Abdul Hakim bin Ahmad Fauzi TLDM, Pegawai Laksana UBU TLDM. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen pihak unit dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni serta seimbang antara tuntutan tugas dan kesejahteraan keluarga.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diatur melibatkan penyertaan kanak-kanak, dewasa serta aktiviti berpasangan. Program turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para peserta, sekali gus menambah kemeriahan suasana.
Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Keluarga ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan memberikan impak positif dalam memperkukuhkan hubungan kekeluargaan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga Unit Bantuan Utara TLDM. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuhkan jati diri dan kerjasama warga unit.