14/07/2026
SELAMAT MAJU JAYA PUAN SURAYA SULAIMAN 👍🏻
UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH SEMPENA PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR 2026 BAGI DUN N09 GAMBIR
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi DUN N09 Gambir yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor 2026.
Saya menghormati sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh para pengundi dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka, penuh kematangan serta semangat demokrasi. Sesungguhnya setiap proses pilihan raya merupakan manifestasi kepada amalan demokrasi yang perlu terus dipelihara demi kestabilan dan kemajuan Negeri Johor.
Saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada kepimpinan tertinggi Parti Pejuang Tanah Air, khususnya Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Presiden Parti Pejuang Tanah Air, serta Tuan Nornekman Dato' Osman, Ketua Negeri Pejuang Johor, atas kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan kepada saya untuk menjadi satu-satunya calon daripada Parti Pejuang Tanah Air yang mewakili Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2026 bagi kerusi N09 Gambir. Kepercayaan ini merupakan satu penghormatan yang amat besar, dan saya akan sentiasa menghargai peluang serta amanah yang telah diberikan.
Ucapan penghargaan turut saya tujukan kepada seluruh warga DUN N09 Gambir yang telah memberikan sokongan, dorongan, doa serta kepercayaan sepanjang tempoh kempen. Setiap undi yang diberikan merupakan satu amanah yang amat saya hargai dan akan menjadi pemangkin untuk saya terus berbakti kepada masyarakat.
Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan jentera Perikatan Nasional, termasuk semua petugas bilik gerakan, Pusat Daerah Mengundi (PDM), sukarelawan, ejen tempat mengundi, ejen mengira undi, penyokong serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan gerak kerja pilihan raya. Pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan komitmen yang dicurahkan sepanjang kempen merupakan asas kekuatan perjuangan yang amat saya hargai.
Ucapan terima kasih turut saya tujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas keselamatan, penjawat awam, petugas media serta semua pihak yang telah memastikan proses Pilihan Raya Negeri Johor berlangsung dengan aman, teratur dan lancar.
Saya juga memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau kelemahan sepanjang tempoh berkempen. Segala teguran dan pandangan akan saya jadikan pedoman untuk terus memperbaiki diri dalam usaha berkhidmat kepada rakyat.
Walaupun keputusan pilihan raya tidak memihak kepada saya, komitmen saya untuk terus menyantuni masyarakat serta menyuarakan aspirasi rakyat DUN N09 Gambir tidak akan terhenti. Perjuangan untuk melihat rakyat terus terbela, berintegriti dan menikmati pembangunan yang lebih seimbang akan terus menjadi iltizam saya.
Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi DUN N09 Gambir, kepimpinan Parti Pejuang Tanah Air, kepimpinan dan jentera Perikatan Nasional serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan proses demokrasi ini.
Semoga Allah SWT memberkati segala usaha, pengorbanan dan keikhlasan kita semua serta terus memelihara kesejahteraan Negeri Johor Darul Ta'zim.
Sekian, terima kasih.
SURAYA SULAIMAN
Calon Perikatan Nasional
N09 Gambir