18/08/2026
"Kalau Bukan Sebab Bumbung Rumah Tunku Bocor, Mungkin Kita Merdeka Pada 1959?"
Oleh: Azizul Farhan
Kalau ikut rancangan asal Parti Perikatan, Tanah Melayu mungkin hanya mencapai kemerdekaan sekitar tahun 1959. Sasaran yang dibawa ketika Pilihan Raya Persekutuan 1955 ketika itu cukup jelas iaitu “Independence in Four Years”, kemerdekaan dalam tempoh empat tahun.
Tapi selepas pilihan raya, Tunku Abdul Rahman sendiri menceritakan satu kejadian yang menyebabkan beliau rasa empat tahun itu terlalu lama.
Bumbung rumahnya bocor.
Kisah ni diceritakan sendiri oleh Tunku dalam satu rakaman lama yang disiarkan RTM. Waktu itu Tunku baru dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu selepas kemenangan besar Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Persekutuan pada 27 Julai 1955.
Pilihan raya tersebut merupakan pilihan raya umum pertama di peringkat Persekutuan. Daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC menang 51 kerusi. Satu-satunya kerusi yang terlepas dimenangi PAS.
Kemenangan itu cukup besar sampai Perikatan menganggapnya sebagai mandat rakyat untuk mendesak British memberikan kemerdekaan. Malah sepanjang kempen, mereka memang sudah membawa slogan “Independence in Four Years”. Kalau dikira dari 1955, kita sampai sekitar 1959.
Selepas kemenangan tersebut, Tunku dilantik menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Tunku mula menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri pada Ogos 1955.
Masalahnya, walaupun sekarang bergelar Ketua Menteri, layanan yang diterima Tunku daripada pentadbiran British agak pelik.
Tunku menceritakan bahawa apabila beliau datang ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tugas, rumah rasmi pun tak ada. Kenderaan untuk kegunaan beliau juga tak disediakan.
British kemudian menunjukkan sebuah rumah kepada Tunku dan meminta beliau tinggal di situ.
Tunku tengok rumah tersebut dan terus tak mahu. Sebabnya rumah yang ditawarkan itu merupakan kuarters kerani.
Tunku sendiri hairan. Dia sekarang Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, dipilih selepas Perikatan menang pilihan raya dan menjadi wakil kepada rakyat. Tapi rumah yang hendak diberikan kepadanya sama macam kuarters yang disediakan kepada seorang kerani kerajaan.
Tunku terus tolak.
Selepas itu barulah beliau diberikan sebuah rumah lain.
Tunku menyebut rumah itu pernah didiami Raja Uda bin Raja Muhammad, bekas Menteri Besar Selangor dan terletak di No. 1 Hose Road, Kuala Lumpur.
Rumah kedua ini jauh lebih baik. Tunku sendiri kata rumahnya besar dan luas. Jadi pada awalnya beliau tak mempunyai masalah besar untuk tinggal di situ.
Sampailah satu malam hujan turun.
Barulah Tunku tahu masalah rumah tersebut.
Bumbungnya bocor.
Air hujan mula menitik masuk sehingga tempat tidurnya basah. Tunku terpaksa mengalihkan katil dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari bahagian bilik yang tak terkena air.
Alih sebelah sana, kena hujan.
Alih sebelah sini, masih kena.
Malam itulah Tunku bengang.
Tunku mengingatkan semula bahawa beliau sebelum itu sudah berjanji untuk mendapatkan kemerdekaan dalam tempoh empat tahun selepas pilihan raya.
Tapi selepas terkena hujan dalam rumah yang diberikan kepada Ketua Menteri itu, Tunku mula fikir balik.
Empat tahun terlalu lama.
Beliau melihat layanan seperti itu sebagai gambaran bagaimana pentadbiran kolonial British masih memandang kerajaan tempatan ketika itu.
Tunku kemudian membuat keputusan untuk memotong sasaran empat tahun tadi sebanyak dua tahun.
Daripada empat tahun kepada dua tahun.
Tunku sendiri menyebut bahawa selepas malam berkenaan, beliau mahu kemerdekaan dicapai dalam masa dua tahun dan itulah yang kemudian mereka tuntut.
Kemerdekaan pada 1957.
Kisah ini bukan hanya wujud dalam rakaman tersebut. Biografi Tunku dan beberapa kajian sejarah turut merekodkan cerita yang hampir sama.
Dalam Singapore: The Unexpected Nation, Edwin Lee mencatatkan bahawa Tunku dan menteri-menterinya selepas kemenangan 1955 tidak diberikan kediaman rasmi dan kereta seperti kemudahan yang dinikmati Menteri Besar, hakim serta pegawai kanan Malayan Civil Service.
Tunku pada mulanya ditawarkan sebuah kuarters dua bilik untuk kerani, tetapi beliau menolaknya. Selepas itu beliau berpindah bersama isterinya ke sebuah rumah lama satu tingkat yang mempunyai kawasan tanah luas.
Mereka kemudian mengetahui bumbung rumah itu bocor selepas hujan lebat pada suatu malam.
Menurut memoir Tunku yang digunakan dalam penulisan tersebut, Tunku ketika itu berazam mahu mendapatkan kemerdekaan dalam separuh daripada tempoh asal, dua tahun dan bukannya empat tahun.
Tak sampai sebulan selepas itu, Tunku sudah bertemu Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British, Alan Lennox-Boyd.
Tunku mendesak supaya perlembagaan Tanah Melayu diubah dan proses menuju kemerdekaan dipercepatkan. Beliau mahu kuasa Pesuruhjaya Tinggi British dikurangkan dan sebuah suruhanjaya bebas dibentuk bagi menyediakan perlembagaan baharu untuk negara yang bakal merdeka.
British ketika itu belum terus setuju.
Mereka masih berhati-hati untuk menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan Perikatan.
Malah semasa rundingan kemerdekaan di London beberapa bulan kemudian, rancangan awal Colonial Office masih tertumpu kepada memberikan pemerintahan sendiri penuh terlebih dahulu dan bukannya terus kemerdekaan penuh. Perikatan p**a terus mendesak supaya kemerdekaan diberikan.
Dalam UMNO sendiri, desakan untuk memendekkan tempoh empat tahun semakin kuat.
Tunku kemudian menulis dalam As a Matter of Interest bahawa ramai ahli UMNO merasakan empat tahun terlalu lama.
Pemuda UMNO mengambil pendirian lebih keras. Mereka mahu kemerdekaan dicapai dalam masa dua tahun.
Pada Persidangan Agung UMNO yang berlangsung pada 26 dan 27 Disember 1955, usul Pemuda supaya tarikh kemerdekaan dipercepatkan kepada 31 Ogos 1957 akhirnya diluluskan.
Jadi sasaran dua tahun bukan datang daripada Tunku seorang.
Edwin Lee mencatatkan bahawa Tunku kemudian memberitahu Pesuruhjaya Tinggi British Donald MacGillivray bahawa beliau sebenarnya agak serba salah dengan resolusi UMNO yang menetapkan 31 Ogos 1957. Tunku tidak merasakan beliau mampu menentangnya dan hanya menambah perkataan “jika boleh” kepada tuntutan itu.
Perbezaan itu normal bila kita berdepan sejarah yang datang daripada memoir, rakaman lisan dan dokumen kerajaan.
Apa yang pasti, sasaran Perikatan memang berubah.
Pada pilihan raya Julai 1955, slogannya kemerdekaan dalam tempoh empat tahun.
Menjelang hujung Disember tahun sama, UMNO sudah menuntut 31 Ogos 1957.
Dan selepas itu semuanya bergerak dengan sangat pantas.
Pada 28 dan 29 Disember 1955, Tunku menghadiri Rundingan Baling bersama Tun Tan Cheng Lock dan Ketua Menteri Singapura, David Marshall untuk berunding dengan pemimpin Parti Komunis Malaya yang diketuai Chin Peng.
Rundingan tersebut gagal menghasilkan persetujuan kerana Tunku mahukan PKM meletakkan senjata, sedangkan Chin Peng mahu parti tersebut dibenarkan bergerak secara sah dalam politik.
Tak lama selepas Rundingan Baling selesai, Tunku p**a bersiap untuk perjalanan yang jauh lebih penting.
London.
Pada awal Januari 1956, rombongan kemerdekaan yang terdiri daripada wakil Parti Perikatan dan Raja-Raja Melayu berangkat ke Britain untuk berunding dengan kerajaan British.
Tunku pergi dengan satu sasaran yang jauh lebih agresif berbanding manifesto pilihan raya beberapa bulan sebelumnya.
31 Ogos 1957.
Dalam rundingan tersebut, British akhirnya menerima bahawa Tanah Melayu akan diberikan kemerdekaan penuh. Rombongan Tunku kemudian p**ang ke Tanah Melayu dan pada 20 Februari 1956, di Padang Bandar Hilir, Melaka, Tunku mengumumkan kepada ribuan rakyat bahawa kemerdekaan akan dicapai pada 31 Ogos 1957.
Dari situ tinggal kira-kira setahun setengah untuk menyiapkan sebuah negara.
Suruhanjaya Reid dibentuk bagi menyediakan kerangka Perlembagaan Persekutuan. Rundingan diteruskan antara Parti Perikatan, Raja-Raja Melayu dan kerajaan British mengenai struktur kerajaan, kewarganegaraan, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa, agama serta banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan sebelum British menyerahkan kuasa.
Akhirnya pagi 31 Ogos 1957, sasaran dua tahun itu tercapai.
Tunku Abdul Rahman berdiri di Stadium Merdeka dan melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali.
Tanah Melayu secara rasmi menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Akhirnya kita sudah masuk dalam bulan kemerdekaan!