Exco Pemuda PBS

Exco Pemuda PBS We are Multiracial Party United Together for Sabahans. Kami adalah Parti Berbilang Kaum

SABAR, SETIA, BERSATU  TUNGKUS SUNDUVAN DIWARISI DARI PEMIMPIN PBS TERDAHULUSebagai seorang Exco Pergerakan Pemuda PBS, ...
18/08/2026

SABAR, SETIA, BERSATU TUNGKUS SUNDUVAN DIWARISI DARI PEMIMPIN PBS TERDAHULU

Sebagai seorang Exco Pergerakan Pemuda PBS, saya melihat keputusan YBRS. Dr. Rockey Jerome Budin untuk memberi laluan kepada YBhg. Datuk Christopher Mandut mempertahankan jawatan Ketua Exco Pergerakan Pemuda sebagai satu keputusan yang besar maknanya, bukan sekadar soal pertandingan atau jawatan.

Bagi saya, keputusan ini mencerminkan satu nilai yang telah lama diterapkan dalam perjuangan PBS oleh pemimpin-pemimpin terdahulu iaitu Sabar, Setia dan Bersatu.

Tiga perkataan ini nampak mudah, tetapi nilainya sangat mahal dalam politik.

Kita sudah melihat bagaimana konsep ini melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang berkualiti apabila mereka sanggup bersabar, terus setia kepada perjuangan dan memilih untuk kekal bersatu.

Lihat sahaja apa yang berlaku di DUN Telupid. Pemimpin muda YB Datuk Jhonnybone Kurum membina kepimpinan beliau daripada akar umbi. Kesabaran melalui proses, kesetiaan kepada parti dan pengalaman yang dikumpul dari bawah serta dibentuk melalui bimbingan pemimpin terdahulu akhirnya membentuk beliau menjadi pemimpin bahagian yang dihormati. Inilah produk PBS!

Di DUN Tandek, kita juga pernah menyaksikan satu perjalanan yang penuh dengan cabaran. Ketika mantan YB dan Ketua Bahagian mengambil keputusan meninggalkan PBS dan menyertai Parti WARISAN, seorang pemimpin muda yang ketika itu memilih untuk terus berpegang kepada prinsip sabar, setia dan bersatu, iaitu YB Datuk Hendrus Anding, akhirnya berjaya membuktikan kemampuan beliau dengan mengambil alih kepimpinan Tandek dan terus memimpin sehingga hari ini. Inilah Produk PBS!!!

Dan bagi saya, perjalanan YBhg. Datuk Christopher Mandut juga merupakan antara contoh yang sangat jelas tentang maksud Sabar dan Setia dalam perjuangan.

Beliau bukan melalui jalan yang mudah. Sudah empat kali beliau berdepan dengan cabaran dan harapan untuk menjadi calon pilihan raya, namun peluang tersebut masih belum berjaya direalisasikan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Bagi sesetengah orang, mungkin keadaan seperti ini cukup untuk membuat seseorang kecewa, mengubah haluan atau meninggalkan perjuangan.

Tetapi Datuk Christopher memilih jalan yang berbeza.

Beliau tetap sabar.

Beliau tetap setia.

Beliau tidak lari daripada perjuangan.

Beliau terus bekerja, terus membina kekuatan, terus memikul amanah dan terus bersama PBS sehingga akhirnya hari ini beliau diberi kepercayaan untuk memimpin sebagai Ketua Bahagian Bandau.

Inilah nilai perjuangan yang kadang-kadang tidak dapat diukur melalui berapa kali kita menang atau kalah dalam pertandingan. Nilai seorang pemimpin juga dapat dilihat melalui berapa lama dia mampu bertahan ketika belum mendapat apa yang diinginkan.

Empat kali peluang belum menjadi kenyataan, tetapi beliau tidak menjadikan kekecewaan sebagai alasan untuk meninggalkan parti.

Pada saya, itulah Sabar dan Setia.

Ini menunjukkan bahawa politik adalah sebuah perjalanan, bukan perlumbaan siapa paling cepat sampai ke hadapan. Dan itulah prinsip yang saya nampak dalam PBS dan menyebabkan saya jatuh hati untuk terus setia dalam perjuangan ini.

Kadang-kadang kita perlu bersabar untuk menunggu masa.

Kadang-kadang kita perlu setia walaupun jalan kita tidak mudah.

Dan kadang-kadang kita perlu mengalah bukan kerana kita lemah, tetapi kerana kita mahu menyelamatkan sesuatu yang lebih besar daripada kepentingan diri sendiri.

Atas sebab itu, saya melihat keputusan YBRS. Dr. Rockey sebagai satu keputusan yang sangat matang dan berpandangan jauh dan wajar diberikan penghormatan sewajarnya.

Kedua-dua beliau YBhg. Datuk Christopher Mandut dan Dr Rockey Jerome Budin adalah produk Pemuda PBS yang berkualiti dan melakar sejarah masing2 dalam usaha mengambil semula DUN Bandau dan DUN Tambunan tidak lama lagi.

Lebih penting, tahun ini merupakan tahun pertama mereka memikul amanah sebagai Ketua Bahagian masing-masing di Bandau dan Tambunan.

Bayangkan jika pertandingan yang sebenarnya masih boleh dielakkan ini akhirnya membawa kepada perpecahan dalam kalangan penyokong masing-masing. Kita mungkin bukan sahaja kehilangan masa dan tenaga, tetapi boleh menyebabkan dua aset penting PBS yang sedang berkembang ini terluka oleh pertembungan sesama sendiri.

Sedangkan kita sepatutnya bertanya:

Apakah yang PBS perlukan untuk 10 atau 20 tahun akan datang?

Jawapannya ialah lebih ramai pemimpin muda yang berkualiti, matang dan berpengalaman.

Sebab itu saya melihat keputusan ini bukan sebagai kemenangan satu pihak dan kekalahan pihak yang lain.

Ini adalah kemenangan kepada Pemuda PBS kerana berjaya menurunkan sedikit ego politik demi masa depan parti yang kita sayangi.

Ini juga adalah kemenangan kepada PBS kerana kita berjaya menjaga dua permata yang sedang bersinar ,dua pemimpin muda yang mempunyai potensi besar untuk menjadi tonggak kepimpinan PBS di Bandau dan Tambunan pada masa akan datang.

Dan untuk makluman bersama, dalam Exco Pemuda juga kita ada saudara Sahrool Maholoop Memimpin Bahagian Sebatik, Saudara Louis Lai memimpin Bahagian Tanjung Aru dan saudara Sheiron Chang, kini memimpin Bahagian WP Labuan. Semua ini adalah produk dari Pemuda PBS. Pemuda Harapan, Pemimpin masa hadapan.

Kepada semua penyokong di kalangan pemuda-pemuda Bahagian di kedua-dua belah pihak, saya ingin menyeru agar kita menutup lembaran kempen yang panjang ini dengan hati yang terbuka.

Kita sudah berkempen.

Kita sudah menyatakan sokongan.

Kita sudah mempertahankan calon pilihan masing-masing.

Sekarang masanya kita kembali kepada satu keluarga.

Tidak ada yang perlu kalah. Tidak ada yang perlu menang.

Yang perlu menang ialah PBS.

Kita sebagai Pemuda harus menunjukkan bahawa kita mampu berpolitik dengan matang. Kita boleh berbeza pandangan tanpa bermusuh. Kita boleh bersaing tanpa memutuskan persahabatan. Dan kita boleh menerima keputusan dengan penuh hormat demi kepentingan parti.

Saya percaya inilah contoh kepimpinan melalui teladan yang perlu kita teruskan daripada pemimpin-pemimpin Presiden PBS terdahulu dari era Tan Sri DSP Pairin Datuk Kitingan , Ybhg DSP Dr Maximus Johnity Ongkili sehingga kepada Presiden kita pada hari ini, YB DSP Dr. Joachim Gunsalam.

Kalau kita benar-benar mahu melihat produk Pemuda mendominasi kepimpinan PBS pada masa akan datang, kita sendiri harus menunjukkan bahawa produk Pemuda bukan hanya berani bertanding.

Produk Pemuda juga mesti tahu bila untuk bersabar.

Mesti tahu menghargai kesetiaan.

Dan mesti tahu bila masanya untuk bersatu.

Dan paling penting perlu ada semangat setiakawan.

Sabar. Setia. Bersatu.

Bukan sekadar cogan kata.

Tetapi satu TUNGKUS SUNDUVAN kepimpinan yang perlu kita hidupkan semula dalam diri setiap Pemuda PBS.

Saya percaya Bandau dan Tambunan bukan pengakhiran kepada perjalanan dua pemimpin ini. Ini baru permulaan.

Semoga kedua-duanya terus diberikan ruang, kekuatan dan masa untuk membuktikan kemampuan masing-masing, dan suatu hari nanti menjadi antara pemimpin utama yang membawa PBS ke tahap yang lebih tinggi.

Mari kita Hormati keputusan mereka. Padamkan perbezaan. Satukan kembali kekuatan.

Demi Pemuda. Demi PBS. Demi masa depan perjuangan!!! ✊🏾✊🏾✊🏾

Pandangan peribadi saya,

Rudy J Jikinon
Exco Pergerakan Pemuda PBS

18/08/2026

KENYATAAN AKHBAR

DR. ROCKEY TARIK DIRI, BERI LALUAN KEPADA DATUK DR. CHRISTOPER TERAJUI PEMUDA PBS

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat (Kuota Biru), Dr. Rockey Jerome Budin, mengumumkan secara rasmi keputusan untuk menarik diri daripada menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda PBS Pusat dalam pemilihan parti kali ini.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek dan melalui pertimbangan mendalam, khususnya demi kepentingan, perpaduan serta masa depan PBS.

Menurutnya, peralihan kepimpinan parti ketika ini memerlukan sokongan padu daripada seluruh anggota bagi memberi ruang kepada Presiden dan barisan kepimpinan baharu untuk menstabilkan parti, merapatkan saf serta memperkukuhkan organisasi.

“Peralihan fasa kepimpinan memerlukan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi. Saya percaya kita harus memberi peluang penuh kepada pucuk pimpinan baharu untuk mengukuhkan asas parti, merapatkan saf dan menstabilkan pentadbiran tanpa sebarang gangguan dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Rockey berkata keputusan itu turut mengambil kira keperluan PBS untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, perkembangan politik semasa menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan seluruh tenaga parti perlu digembleng bagi memperkukuhkan jentera serta memastikan PBS bersedia menghadapi cabaran pilihan raya.

“Fokus kita hari ini mesti dialihkan sepenuhnya kepada persiapan jentera parti bagi menghadapi PRU yang dijangka tidak lama lagi, tanpa tenaga kita dipecahkan oleh persaingan dalaman yang berpanjangan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan parti perlu sentiasa mengatasi kepentingan peribadi, termasuk dalam soal jawatan dan kedudukan.

“Bagi saya, jawatan dan kedudukan bukanlah keutamaan. Apa yang jauh lebih penting ialah kelangsungan, perpaduan dan kemenangan parti. Kepentingan PBS harus diletakkan jauh melebihi segala kepentingan individu atau kelompok,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Rockey berkata beliau dengan berlapang dada memberi laluan sepenuhnya kepada Datuk Dr. Christoper Mandut untuk menerajui kepimpinan Pemuda PBS Pusat.

Dalam pada itu, beberapa calon lain yang menawarkan diri bagi jawatan dalam barisan kepimpinan Pemuda PBS Pusat turut mengambil keputusan untuk menarik diri bagi memberi laluan kepada penyandang serta pemimpin lain yang dikenal pasti untuk mengisi jawatan berkenaan.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Biru), Pegawai Penerangan Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun, mengambil keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan bagi memberi laluan kepada Stanley Leo, sekali gus membolehkan beliau (Stanley) menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Kuning), Setiausaha Pemuda PBS Bahagian Kepayan, Adlu Shah, turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Mohd Khairol Majde, yang juga Naib Ketua (Kuota Kuning), untuk menang tanpa bertanding.

Bagi jawatan Naib Ketua (Kuota Biru) p**a, Exco Pemuda, Rainy Valentine mengambil keputusan menarik diri daripada pertandingan bagi memberi laluan kepada seorang lagi rakan beliau dalam barisan Exco Pemuda, Kevin Jon Johnny, untuk menang tanpa bertanding.

Dr. Rockey berkata, perkembangan itu mencerminkan kesediaan dalam kalangan barisan Pemuda PBS untuk mendahulukan kepentingan dan perpaduan parti berbanding persaingan bagi mendapatkan jawatan.

Menurutnya, semangat bertolak ansur dan kesediaan memberi laluan itu amat penting dalam usaha memastikan proses peralihan kepimpinan dapat berlangsung dalam suasana harmoni, sekali gus membolehkan Pemuda PBS memberi tumpuan kepada agenda yang lebih besar.

Beliau berharap barisan kepimpinan Pemuda PBS yang dibentuk kelak dapat bergerak sebagai satu pasukan yang kukuh, bersatu dan bersedia memperkasakan jentera parti menjelang PRU akan datang.

Pada masa sama, Dr. Rockey menyeru seluruh kepimpinan dan ahli Pemuda PBS di semua peringkat supaya merapatkan barisan serta memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan baharu demi memastikan sayap Pemuda terus memainkan peranan berkesan dalam memperjuangkan aspirasi generasi muda Sabah.

“Perjuangan ini bukan tentang siapa yang memegang jawatan, tetapi tentang bagaimana kita bersama-sama membawa suara rakyat dan memastikan PBS terus menjadi pilihan utama rakyat Sabah.

“Marilah kita merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan. Kepentingan dan masa depan PBS harus sentiasa menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Exco Pemuda PBS Pusat, Datuk Dr. Christoper Mandut, menghargai keputusan serta pengorbanan yang dibuat oleh Dr. Rockey, yang disifatkannya sebagai mencerminkan semangat kesatuan dan sikap mendahulukan kepentingan parti.

Beliau berkata keputusan tersebut harus menjadi titik penyatuan semula seluruh barisan Pemuda selepas melalui proses pemilihan yang menyaksikan wujudnya pertembungan dalam kalangan kepimpinan.

Justeru, Datuk Dr. Christoper menyeru seluruh ahli parti, khususnya barisan Pemuda PBS, supaya kembali bersatu, dan mengetepikan sebarang unsur perpecahan yang timbul akibat pertembungan sebelum ini.

Menurutnya, proses pemilihan parti tidak seharusnya meninggalkan jurang atau kelompok yang boleh melemahkan perjuangan PBS, sebaliknya semua pihak perlu kembali bergerak sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Presiden PBS.

“Tiada lagi Team Dr. Christoper atau Team Dr. Rockey, tetapi kita adalah Team Presiden PBS yang akan memimpin parti kita seterusnya,” tegas Christoper.

Beliau berkata semangat kesatuan itu penting dalam memastikan Pemuda PBS kekal sebagai sebuah sayap yang kukuh dan mampu memainkan peranan utama dalam memperkasakan parti serta mempersiapkan jentera menghadapi cabaran politik akan datang.

— TAMAT —

KOTA KINABALU, 17 Ogos 2026 — Beberapa calon yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan Pemuda PB...
17/08/2026

KOTA KINABALU, 17 Ogos 2026 — Beberapa calon yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan Pemuda PBS Pusat hari ini secara rasmi mengumumkan keputusan untuk menarik diri bagi memberi laluan kepada calon yang dipersetujui, dalam usaha memastikan kesatuan, kestabilan dan keharmonian parti terus terpelihara.

Bagi jawatan Ketua Pemuda PBS Pusat, Dr. Rocky Jerome Budin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan dan memberi laluan kepada penyandang, Datuk Dr. Christoper Mandut, untuk meneruskan kepimpinan Pemuda PBS Pusat.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBS Pusat (Kuota Biru) p**a, Steve Datuk Johnny Mositun turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Stanly Leo.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBS Pusat (Kuota Kuning), Adlu Hayaziez Shah mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada Khairul Majide Kalimin, manakala Rainy Valentine Andrew turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Kevin Jon Johnny.

Keputusan tersebut dilihat sebagai satu langkah yang mencerminkan kematangan politik dan kesediaan para calon untuk meletakkan kepentingan parti, perpaduan serta kestabilan Pemuda PBS sebagai keutamaan.

Datuk Dr. Christoper Mandut merakamkan penghargaan kepada semua calon yang telah menunjukkan sikap terbuka dan semangat setiakawan dalam membuat keputusan tersebut.
“Dalam sesuatu pertandingan, perbezaan pandangan dan persaingan adalah perkara biasa. Namun, yang lebih penting ialah kita mampu meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

“Saya amat menghargai pengorbanan dan keikhlasan rakan-rakan yang mengambil keputusan untuk memberi laluan. Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai matlamat yang sama, iaitu memperkukuh Pemuda PBS dan memastikan parti terus bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata, konsensus yang dicapai itu diharapkan dapat menjadi asas kepada pembentukan barisan kepimpinan dan EXCO Pemuda PBS Pusat yang lebih kukuh, bersatu serta mampu memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan golongan muda dan masa depan Sabah.

“Ini bukan soal siapa menang atau siapa kalah. Kemenangan sebenar ialah apabila kita mampu bersatu selepas proses pemilihan dan terus bekerja bersama demi parti.

“Saya berharap semangat ini akan terus dikekalkan dan menjadi contoh bahawa persaingan dalam parti tidak seharusnya memecahbelahkan kita,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan dan anggota Pemuda PBS yang terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada kepimpinan Pemuda PBS Pusat.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi kita tetap satu keluarga. Demi Pemuda PBS, demi parti dan demi masa depan Sabah,” katanya.

EXCO Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kepimpinan tertinggi parti yang telah di...
07/08/2026

EXCO Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kepimpinan tertinggi parti yang telah disahkan menang tanpa bertanding sempena Kongres PBS Ke-41.

Presiden
YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam

Timbalan Presiden
• YB Datuk Joniston Bangkuai
• YB Datuk Haji Ruslan Muharam
• YB Datuk Lo Su Fui

Kemenangan tanpa bertanding ini mencerminkan keyakinan dan sokongan padu seluruh akar umbi terhadap kepimpinan parti dalam meneruskan perjuangan serta memperkukuhkan Parti Bersatu Sabah.

Semoga kepimpinan yang diberi amanah akan terus membawa PBS ke arah yang lebih cemerlang demi rakyat, negeri Sabah dan Malaysia.

Tahniah dan selamat menjalankan amanah.

Bersatu! Bersatu! Bersatu!

KENYATAAN SOKONGAN DARIPADA BARISAN KEPIMPINAN EXCO PEMUDA PBS PUSAT (KUOTA MERAH) DAN PEMIMPIN-PEMIMPIN PEMUDA PBS (KUO...
15/07/2026

KENYATAAN SOKONGAN DARIPADA BARISAN KEPIMPINAN EXCO PEMUDA PBS PUSAT (KUOTA MERAH) DAN PEMIMPIN-PEMIMPIN PEMUDA PBS (KUOTA MERAH) SELURUH SABAH

Kami, barisan kepimpinan Exco Pemuda PBS Pusat (Kuota Merah) bersama pemimpin-pemimpin Pemuda PBS (Kuota Merah) dari seluruh Sabah, ingin menyatakan sokongan dan keyakinan penuh kami terhadap kepimpinan YBhg. Datuk Dr. Christopher Mandut sebagai Ketua Pemuda Pusat PBS.

Sepanjang menerajui Pemuda Pusat PBS, Datuk Dr. Christopher Mandut telah membuktikan komitmen yang tinggi dalam memperkukuhkan pergerakan Pemuda, mendekati akar umbi serta memastikan suara generasi muda sentiasa diberi perhatian. Kepimpinan beliau bukan sekadar pada jawatan yang disandang, tetapi dizahirkan melalui tindakan, kesungguhan, kehadiran dan komitmen yang berterusan.

Dalam landskap politik yang semakin mencabar, Pemuda PBS memerlukan seorang pemimpin yang berpengalaman, konsisten, berwibawa serta mampu menyatukan seluruh jentera. Seorang pemimpin harus dinilai berdasarkan rekod perkhidmatan, keupayaan memimpin, kesanggupan berkorban dan hasil kerja yang telah dibuktikan, bukannya sekadar retorik atau persepsi.

Kami percaya kesinambungan kepimpinan Datuk Dr. Christopher Mandut amat penting bagi memastikan agenda memperkasakan Pemuda PBS dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan berkesan. Beliau juga merupakan antara pemimpin yang sentiasa mengangkat idea-idea serta suara PBS bukan sahaja di peringkat Negeri malah ke peringkat Persekutuan. Tidak terhad dengan itu, beliau juga sering tampil membawa suara anak-anak muda PBS di pelbagai platform media selain lantang mempertahankan hak-hak Sabah.

Sehubungan itu, kami menyeru seluruh warga Pemuda PBS agar terus bersatu dan bijak menilai kepimpinan berdasarkan komitmen, integriti, kehadiran dan rekod perkhidmatan. Jangan mudah dipengaruhi oleh perkara-perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan kita. Masa depan Pemuda PBS harus dipimpin oleh mereka yang benar-benar mampu memberi komitmen, memikul amanah dan menyampaikan hasil.
Bersatu dalam perjuangan. Teguh dalam kepimpinan. Yakin dengan pemimpin yang telah terbukti berkhidmat untuk Pemuda PBS.

Sekian

Louis Lai
Timbalan Ketua Pemuda Pusat Merangkap KB PBS N.22 Tanjung Aru

SOKONGAN PADU KEPADA DATUK DR. CHRISTOPHER MANDUT SEBAGAI KETUA PEMUDA PBS PUSATKepimpinan Exco Pemuda PBS Kuota Kuning ...
14/07/2026

SOKONGAN PADU KEPADA DATUK DR. CHRISTOPHER MANDUT SEBAGAI KETUA PEMUDA PBS PUSAT

Kepimpinan Exco Pemuda PBS Kuota Kuning (Bumiputera Muslim) dengan penuh keyakinan menyatakan sokongan padu kepada Datuk Dr. Christopher Mandut untuk terus menerajui Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai Ketua Pemuda PBS Pusat.

Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, Datuk Dr. Christopher Mandut telah membuktikan keupayaan sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan golongan muda. Beliau bukan sahaja berjaya menyatukan barisan Pemuda PBS, malah menjadi jambatan yang berkesan dalam menyampaikan aspirasi, pandangan dan harapan generasi muda kepada kepimpinan tertinggi parti.

Kepimpinan beliau yang inklusif, berwawasan dan berpandangan jauh telah memperkukuhkan peranan Pemuda PBS sebagai sayap parti yang dinamik, progresif dan relevan dalam mendepani cabaran semasa. Datuk Dr. Christopher Mandut sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan isu-isu yang menyentuh kepentingan belia, termasuk peluang pekerjaan, pembangunan modal insan, keusahawanan, pendidikan serta penglibatan generasi muda dalam proses membuat dasar.

Lebih penting lagi, beliau telah memainkan peranan yang berkesan dalam membawa suara Pemuda PBS ke peringkat kepimpinan tertinggi PBS serta kepada Kerajaan Negeri. Keupayaan beliau membina hubungan yang baik dengan kepimpinan parti dan kerajaan memastikan pandangan serta cadangan daripada akar umbi Pemuda PBS diberikan perhatian dan dipertimbangkan dalam proses merangka dasar serta pelaksanaan program pembangunan negeri.

Kami percaya kesinambungan kepimpinan Datuk Dr. Christopher Mandut amat penting untuk memastikan agenda pemerkasaan belia terus diperkukuhkan dan Pemuda PBS kekal menjadi platform utama dalam melahirkan pemimpin pelapis yang berkualiti, berdaya saing dan berjiwa rakyat.

Sehubungan itu, kami menyeru seluruh ahli Pemuda PBS agar terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Datuk Dr. Christopher Mandut demi memperkukuhkan perpaduan, memperkasakan peranan Pemuda PBS serta memastikan suara anak muda Sabah terus diangkat dalam perjuangan parti dan pembangunan negeri.

"Bersatu Memperkasa Pemuda, Meneruskan Perjuangan Demi Sabah."

Sahrol Mahoolop
Timbalan Ketua Pemuda Kuota Kuning merangkap
Ketua Bahagian PBS N.73 Sebatik

SUKAN MENYATUKAN BELIA, PERSAHABATAN MENGUKUHKAN PERPADUANExco Pemuda PBS Pusat terus komited mendekati golongan belia m...
14/07/2026

SUKAN MENYATUKAN BELIA, PERSAHABATAN MENGUKUHKAN PERPADUAN

Exco Pemuda PBS Pusat terus komited mendekati golongan belia menerusi pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.

Baru-baru ini, kami telah menganjurkan Perlawanan Persahabatan Bola Keranjang Exco Pemuda PBS Pusat bersama rakan-rakan peminat bola keranjang dari sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Papar, bertempat di Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu.

Penyertaan belia dari Kepayan, Api-Api, Likas, Tanjung Aru, Limbahau dan Moyog membuktikan bahawa sukan merupakan platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta membina hubungan yang lebih akrab antara belia.

Terima kasih kepada semua Exco Pemuda PBS, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Pemuda Bahagian serta para peserta yang telah menjayakan program ini.

Kehadiran dan semangat yang ditunjukkan menjadi bukti bahawa belia terus menjadi penggerak utama dalam membina masyarakat yang bersatu, aktif dan progresif.

Exco Pemuda PBS akan terus memperbanyakkan program seumpama ini sebagai usaha mendekati golongan muda serta menggalakkan budaya hidup sihat di seluruh Sabah.

Belia Aktif, PBS Progresif!

PEMUDA PBS PERKUKUH JALINAN BERSAMA BELIA MENERUSI AKTIVITI BOLA KERANJANGKOTA KINABALU: Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah...
13/07/2026

PEMUDA PBS PERKUKUH JALINAN BERSAMA BELIA MENERUSI AKTIVITI BOLA KERANJANG

KOTA KINABALU: Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) terus memperkukuhkan hubungan dengan golongan belia menerusi penganjuran perlawanan persahabatan bola keranjang yang menghimpunkan pemain serta peminat sukan itu dari sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Papar.

Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu, kelmarin, disertai belia dari beberapa kawasan termasuk Kepayan, Api-Api, Likas, Tanjung Aru, Limbahau dan Moyog.

Penganjuran program itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, di samping mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan hubungan antara Pemuda PBS dan komuniti belia melalui medium sukan.

Ketua Penerangan Exco Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun berkata, pendekatan sedemikian memberi ruang kepada Pemuda PBS untuk mendekati lebih ramai anak muda dalam suasana santai, sekali gus menyemai semangat kesukanan, perpaduan dan kerjasama.

"Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan sesama belia, malah membuka peluang kepada Pemuda PBS untuk mendengar pandangan serta mendekati golongan muda melalui aktiviti yang mereka minati," katanya.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Pasukan Exco Pemuda PBS, Alan Lim; Timbalan Ketua Exco Pemuda PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Tanjung Aru, Louis Lai; Ketua Penerangan Exco Pemuda PBS merangkap Ketua Pemuda PBS Limbahau, Steve Johnny Mositun; Ketua Bahagian PBS Likas, Soo Chee Yong; Ketua Pemuda PBS Moyog, Markely; Ketua Pemuda PBS Kepayan, Matthew; Gerrard Chia serta Adrian yang mewakili Pemuda PBS Bahagian Api-Api.

Steve berkata, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai platform memperkukuhkan hubungan dengan golongan belia, menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sihat serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda di Sabah.

Beliau berharap lebih ramai belia akan menyertai program yang dianjurkan Pemuda PBS pada masa akan datang sebagai usaha melahirkan generasi muda yang aktif, bersatu dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.

CAPTION:
PASUKAN bola keranjang Exco Pemuda PBS yang diketuai Alan Lim bersama komuniti bola keranjang serta barisan Exco dan Pemuda PBS dari beberapa bahagian bergambar kenangan sebelum memulakan perlawanan persahabatan di Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu.

https://www.facebook.com/share/p/1JKcpdyWMt/

PEMUDA PBS PERKUKUH JALINAN BERSAMA BELIA MENERUSI AKTIVITI BOLA KERANJANG

KOTA KINABALU: Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) terus memperkukuhkan hubungan dengan golongan belia menerusi penganjuran perlawanan persahabatan bola keranjang yang menghimpunkan pemain serta peminat sukan itu dari sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Papar.

Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu, kelmarin, disertai belia dari beberapa kawasan termasuk Kepayan, Api-Api, Likas, Tanjung Aru, Limbahau dan Moyog.

Penganjuran program itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, di samping mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan hubungan antara Pemuda PBS dan komuniti belia melalui medium sukan.

Ketua Penerangan Exco Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun berkata, pendekatan sedemikian memberi ruang kepada Pemuda PBS untuk mendekati lebih ramai anak muda dalam suasana santai, sekali gus menyemai semangat kesukanan, perpaduan dan kerjasama.

"Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan sesama belia, malah membuka peluang kepada Pemuda PBS untuk mendengar pandangan serta mendekati golongan muda melalui aktiviti yang mereka minati," katanya.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Pasukan Exco Pemuda PBS, Alan Lim; Timbalan Ketua Exco Pemuda PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Tanjung Aru, Louis Lai; Ketua Penerangan Exco Pemuda PBS merangkap Ketua Pemuda PBS Limbahau, Steve Johnny Mositun; Ketua Bahagian PBS Likas, Soo Chee Yong; Ketua Pemuda PBS Moyog, Markely; Ketua Pemuda PBS Kepayan, Matthew; Gerrard Chia serta Adrian yang mewakili Pemuda PBS Bahagian Api-Api.

Steve berkata, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai platform memperkukuhkan hubungan dengan golongan belia, menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sihat serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda di Sabah.

Beliau berharap lebih ramai belia akan menyertai program yang dianjurkan Pemuda PBS pada masa akan datang sebagai usaha melahirkan generasi muda yang aktif, bersatu dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.

CAPTION:
PASUKAN bola keranjang Exco Pemuda PBS yang diketuai Alan Lim bersama komuniti bola keranjang serta barisan Exco dan Pemuda PBS dari beberapa bahagian bergambar kenangan sebelum memulakan perlawanan persahabatan di Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu.

Tahniah diucapkan kepada ahli EXCO Pemuda PBS Pusat, saudara Herman Milah, kerana telah dipilih sebagai Ketua Pemuda PBS...
30/06/2026

Tahniah diucapkan kepada ahli EXCO Pemuda PBS Pusat, saudara Herman Milah, kerana telah dipilih sebagai Ketua Pemuda PBS Bahagian N.11 Kadamaian yang baru bagi sesi 2026/2029.

Semoga perjalanan perjuangan ke arah memantapkan parti, dan menjangkau anak-anak muda di peringkat akan umbi dan Bahagian dipermudahkan.

Bersatu! Bersatu! Bersatu!

Ahad lalu, Setiausaha EXCO Pemuda, Melon Yaming, telah mempengerusi tetapkan Persidangan Pemuda PBS Bahagian Pemuda PBS ...
30/06/2026

Ahad lalu, Setiausaha EXCO Pemuda, Melon Yaming, telah mempengerusi tetapkan Persidangan Pemuda PBS Bahagian Pemuda PBS N.14 Tamparuli, dibantu oleh saudara Ariffin Juin.

Kedua-dua mereka turut sama mengendalikan sesi pemilihan, dibantu oleh Timbalan Ketua Pemuda Bahagian Sulaman.

Tahniah kepada tuan Rizkam Wenddy Yabin yang telah mempertahankan jawatan sebagai Ketua Pemuda PBS Bahagian, begitu juga kepada saudara Ateng, yang merupakan Penolong Ketua Penerangan EXCO Pemuda PBS Pusat, kerana menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua Pemuda Bahagian.

Bersatu! Bersatu! Bersatu!

Address

Lot 4, Block M, Jalan Donggongon, Pusat Bandar Kota Kinabalu, Penampang
Donggongon
89500

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Exco Pemuda PBS posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share