02/03/2026
MAJLIS BERBUKA PUASA, QIAMULLAIL DAN BACAAN YASSIN SEMPENA HARI ULANG TAHUN TENTERA DARAT KE-93
GEORGETOWN, 26 Feb 26 – Rejimen 509 Askar Wataniah telah melaksanakan Majlis Berbuka Puasa, Qiamullail dan Bacaan Yassin sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-93.
Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Staf Agama Pasukan, PW II Ariff bin Che Isa, yang menekankan kepentingan memperkukuhkan iman dan ukhuwah dalam kalangan anggota. Seterusnya, majlis diteruskan dengan berbuka puasa dan Solat Maghrib secara berjemaah.
Majlis diteruskan dengan menunaikan Solat Isyak dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah di Surau As-Salam. Selepas Solat Terawih, majlis diteruskan dengan moreh dalam suasana santai dan harmoni. Pada kesempatan tersebut, turut diadakan penyampaian sumbangan kurma yang telah disumbangkan oleh Mej (K) Adnan bin Abdullah, Ahli JAKPAW sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kebajikan anggota.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelaksanaan qiamullail yang melibatkan solat sunat dan munajat secara berjemaah. Majlis diakhiri dengan Solat Subuh serta Bacaan Yassin sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat yang telah dipimpin oleh Staf Agama Pasukan, Sjn Abdul Malik bin Halim.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-93, malah turut mengeratkan lagi silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan warga Rejimen 509 Askar Wataniah.
“Hubbul Watan Kulli Insan”
Berkhidmat Untuk Negara.