17/02/2025
Majlis makan malam pada 15 Februari 2025 di Dewan Han Chiang High School ialah acara dalaman parti untuk sambut harijadi ke-84 Saudara Lim Kit Siang.
Program dianjur oleh DAP Pulau Pinang. Para hadirin pun terdiri daripada ahli-ahli DAP.
Sebelum ini, saya dah menyatakan bahawa acara malam tersebut berlangsung dengan amat lancar dalam suasana yang amat gembira.
Ahli-ahli DAP Pulau Pinang berasa amat gembira dapat meraikan harijadi sekaligus mengenang sumbangan Saudara Kit.
Saya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang telah menyampaikan ucapan yang mengimbas kembali perjuangan Saudara Kit, khususnya isu-isu yang telah diangkat oleh beliau di Parlimen ketika zaman mudanya pada tahun 70-an.
Saya juga menyatakan bahawa perjuangan Saudara Kit telah menjadi panduan kepada generasi baru ahli-ahli DAP masa kini untuk terus mendukung dan mempertahankan hak rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama.
Selepas majlis makan malam tersebut, telah tular video kekecohan yang berlaku sejurus majlis selesai.
Video tersebut telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.
Ketika wartawan bertanya kepada saya, saya segera menjawab: yang penting majlis meraikan Saudara Kit berjalan lancar dalam suasana gembira. Perkara lain tidak penting.
Saya sudah lama kenal Saudara Tan Khong Chong. Beliau seorang ahli DAP yang setia.
Ketika saya dilantik menjadi Pengerusi DAP Pulau Pinang, saya telah menjadikan PERPADUAN Parti sebagai teras untuk usaha kita memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Pulau Pinang.
Justeru, saya tidak inginkan isu yang tidak memanfaatkan perpaduan Parti berlanjutan. Saya ingin menegaskan sekali lagi - it was just a storm in a teacup, let us move on and move forward, together and stronger. Jalan teruih!