26/03/2026
PROGRAM CEPA PEMAKANAN SIHAT ORANG ASLI 2026
Kg. Klewang & Kg. Sungai Kejar
8–9 Februari 2026
Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Gerik dan Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU) telah menganjurkan Program Pemakanan Sihat Orang Asli pada 8–9 Februari 2026 bertempat di Kg. Klewang dan Kg. Sungai Kejar.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha pemerkasaan komuniti di bawah projek yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi menyokong kesejahteraan masyarakat Orang Asli, meningkatkan keselamatan makanan serta memupuk amalan pemakanan isi rumah yang lebih sihat. Program ini juga selari dengan prinsip ESG dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan keselamatan makanan, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita.
Sepanjang program, peserta telah mengikuti ceramah pemakanan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gerik, demonstrasi penyediaan makanan sihat yang praktikal dan berpatutan, pengagihan bantuan makanan asas kepada isi rumah serta pelbagai permainan dengan hadiah menarik.
PTNPk juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas tajaan daripada Yayasan Hasanah, Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Y.B. Dato’ Salbiah Binti Mohamed, ADUN Temengor serta Koperasi Orang Asli Sungai Tiang (KOAST)
Program ini turut berbesar hati menerima kehadiran Dato’ Sheila Majid selaku Patron RIMAU. Kehadiran beliau telah menyuntik semangat kepada peserta dan petugas sepanjang program berlangsung. Turut hadir menyokong dan memeriahkan program adalah pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Gerik, MAIPk dan RIMAU,
Komitmen PTNPk dalam memperkasakan komuniti Orang Asli di Royal Belum akan terus diperkukuh melalui pendekatan lestari, kolaboratif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.