21/07/2026
KENYATAAN MEDIA
PENAFIAN BERHUBUNG KES PENIPUAN YANG MENYALAHGUNAKAN NAMA PEGAWAI JABATAN PERKHIDMATAN KUARANTIN DAN PEMERIKSAAN MALAYSIA DAN PEMALSUAN PESANAN KERAJAAN
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengambil maklum dan memandang serius berhubung aduan dokumen Pesanan Kerajaan palsu yang diterima oleh beberapa syarikat pembekal tempatan baru-baru ini. Semakan awal pihak Jabatan mendapati terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan nama dan jawatan pegawai MAQIS bagi tujuan memperdaya pembekal untuk menyediakan bekalan/perkhidmatan.
Sehubungan dengan itu, MAQIS MENAFIKAN SEKERAS-KERASNYA sebarang penglibatan dengan pengeluaran dokumen fizikal atau arahan pembekalan di luar Sistem e-Perolehan. Tindakan mengeksploitasi nama Jabatan ini merupakan suatu kesalahan jenayah yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat-syarikat pembekal yang menjadi mangsa serta mencalarkan reputasi MAQIS dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Sebagai langkah proaktif bagi melindungi kepentingan dan kebajikan komuniti pembekal pada masa hadapan, MAQIS menggesa semua syarikat pembekal agar memastikan semua urusan perolehan rasmi berkaitan dengan MAQIS dilaksanakan menerusi Sistem e-Perolehan dan sentiasa berwaspada dengan tawaran yang dibuat di luar sistem tersebut.
Selain itu, pihak MAQIS tidak sekali-kali mengeluarkan sebarang arahan pembekalan atau Pesanan Kerajaan secara fizikal, serahan tangan, mahupun melalui saluran tidak rasmi seperti aplikasi WhatsApp atau e-mel peribadi individu.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung dokumen perolehan yang diterima, pihak syarikat boleh berhubung secara terus dengan Ibu Pejabat MAQIS atau Pejabat MAQIS Negeri bagi membuat pengesahan sebelum memulakan apa-apa komitmen kerja.
MAQIS sentiasa komited dalam memastikan tahap tatakelola pengurusan perolehan mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kerajaan. Pihak Jabatan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan dalang di sebalik kes penipuan ini dapat dibendung sewajarnya.
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)
21 Julai 2026