30/06/2026
OPERASI BERSEPADU PENILAIAN PERKHIDMATAN KAWALAN KESELAMATAN SWASTA SEKITAR IPOH, PERAK
24 Jun 2026 (Rabu), jam 8.00 malam - Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri telah menjalankan Operasi Bersepadu Penilaian Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Swasta Sekitar Ipoh, Perak secara mengejut.
Operasi ini turut melibatkan Pejabat CGSO Negeri Perak dan penyertaan rakan stategik CGSO iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Perak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perak serta Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak.
Operasi yang bermula pada jam 8.00 malam tersebut telah diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohamad Foudzli bin Abdullah, Pengarah, Bahagian Keselamatan Fizikal dan Penilaian Teknikal, Pejabat CGSO serta melibatkan pegawai-pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Keselamatan Fizikal dan Penilaian Teknikal dan Pejabat CGSO Negeri Perak.
Operasi ini adalah bagi menilai dan memastikan prestasi serta mutu perkhidmatan anggota pengawal keselamatan swasta yang sedang memberikan perkhidmatan di agensi Kerajaan menepati kehendak kontrak perjanjian antara pihak syarikat dan jabatan (Kerajaan). Ini termasuk memastikan segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dipatuhi sepenuhnya.
Aspek keselamatan fizikal ke atas premis Kerajaan juga merupakan fokus utama operasi bersepadu pada malam tersebut bagi memastikan keselamatan perlindungan (protective security) terjamin sepenuhnya untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang bentuk ancaman keselamatan ke atas pejabat atau bangunan Kerajaan.