03/09/2026
LAWATAN KERJA YDH DCP DATUK M.V. SRIKUMAR A/L MADHAVAN NAIR, TIMBALAN PENGARAH KDNKA (KEPOLISAN AM/KRISIS BENCANA) JKDNKA KE IBU PEJABAT 69 KOMANDO
3 September 2026 (Khamis) | 21 Rabiulawal 1448H
ULU KINTA, PERAK – YDH DCP Datuk M.V. Srikumar a/l Madhavan Nair, Timbalan Pengarah KDNKA (Kepolisan Am/Krisis Bencana), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat 69 Komando, Kem Sultan Nazrin Shah pada hari ini. Lawatan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan serta komitmen pengoperasian dalam aspek kepolisan am dan pengurusan krisis bencana, di samping mempertingkatkan kesiapsiagaan 69 Komando dalam menghadapi ancaman keselamatan negara yang semakin kompleks dan dinamik.
Ketibaan YDH Datuk telah disambut oleh YDH SAC Hamzah bin Hashim, Komander 69 Komando, YDH ACP Hamzah bin Abdul Rani, Timbalan Komander 69 Komando serta barisan pegawai kanan 69 Komando. Lawatan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan dan sesi menandatangani Buku Lawatan sebelum diteruskan dengan sesi ramah mesra serta jamuan sarapan pagi bersama pegawai-pegawai kanan 69 Komando dalam suasana penuh kemesraan. Seterusnya, YDH Datuk telah menyampaikan amanat kepada seluruh warga 69 Komando yang terdiri daripada Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam di Auditorium Kem Sultan Nazrin Shah.
Dalam amanatnya, YDH Datuk menzahirkan rasa bangga terhadap 69 Komando dan menyeru seluruh warga pasukan agar sentiasa meningkatkan ilmu, kemahiran serta keupayaan bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan terus berada pada tahap terbaik dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan negara. Beliau turut berkongsi lima formula kejayaan dalam kehidupan, iaitu integriti, disiplin, kecekapan, keluarga dan kesihatan. Kelima-lima aspek tersebut perlu menjadi pegangan dalam membentuk jati diri, meningkatkan profesionalisme serta memastikan keseimbangan antara tuntutan perkhidmatan dan kehidupan.
YDH Datuk turut mengingatkan warga 69 Komando agar sentiasa berbuat baik, menjaga hubungan sesama warga, percaya kepada rezeki serta terus berusaha mengekalkan prestasi terbaik sepanjang perkhidmatan. Selesai sesi amanat, YDH Datuk telah melawat Lapang Sasar Terbuka 1.2 kilometer bagi melihat persiapan Majlis Pentauliahan Peserta Kursus Asas 69 Komando Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 September 2026.
Lawatan kemudiannya diteruskan ke beberapa fasiliti latihan 69 Komando termasuk Kompleks Latihan Para, Bangunan Taktikal Selam Tempur, Kompleks Tempur Jarak Dekat dan Menara Taktikal Selam Tempur. YDH Datuk turut berkesempatan melaksanakan demonstrasi kemahiran menembak sniper r***e dari Menara Taktikal Selam Tempur pada jarak 450 meter. Beliau seterusnya menyertai pertandingan tembak tempur bersama pegawai kanan 69 Komando dan muncul sebagai juara pertandingan berkenaan. Dalam kesempatan tersebut juga, YDH Datuk turut menekankan kepentingan keselamatan, pematuhan terhadap perundangan dan prosedur dalam setiap latihan serta operasi, di samping membudayakan sikap saling mengingatkan dan menjaga keselamatan rakan setugas dalam apa-apa jua situasi.
Lawatan kerja diakhiri dengan jamuan makan tengah hari di Mes Pegawai Kanan 69 Komando yang diiringi alunan muzik daripada Band 69 Komando dalam suasana penuh keakraban serta keharmonian. Lawatan ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan KDNKA dengan 69 Komando, malah menjadi medan perkongsian pengalaman, ilmu dan nilai kepimpinan dalam memperkasakan profesionalisme serta kesiapsiagaan pasukan demi menjamin keselamatan negara.