09/06/2026
π TEKNOLOGI REE JADI TUMPUAN! DELEGASI SARAWAK TURUN PADANG KE MAKMAL REE JMG
IPOH, 9 Jun 2026 β Makmal Unsur Nadir Bumi (REE), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di Ipoh telah menerima kunjungan delegasi daripada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Negeri Sarawak dalam satu Lawatan Pembelajaran Teknikal yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Delegasi tersebut diketuai oleh Encik Lim Bih Wei, Ketua Bahagian Sumber Mineral dan Geosains, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Negeri Sarawak. Turut hadir ialah Dato' Haji Syeed Mohd Hussien bin Wan Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTRE FOR TECHNOLOGY EXCELLENCE SARAWAK (CENTEXS), bersama wakil daripada pelbagai agensi strategik termasuk Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Sarawak Climate and Energy Diplomacy Unit, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, JMG Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, Centre of Excellence Sarawak serta i-CATS University College.
Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan menyeluruh mengenai fungsi dan peranan Makmal REE JMG dalam menjalankan analisis mineral, geokimia dan unsur nadir bumi (REE), selain memahami prosedur pengujian kandungan REE, unsur radioaktif serta kekotoran (impurities) dalam pelbagai jenis sampel mineral.
Selain itu, delegasi turut diberi penerangan berkenaan standard kualiti, sistem pematuhan dan amalan terbaik yang digunapakai dalam pengoperasian makmal bertaraf antarabangsa. Sesi lawatan turut merangkumi perkongsian teknikal berkaitan peralatan analisis berteknologi tinggi yang digunakan di makmal, termasuk aspek perancangan dan anggaran kos pembangunan sebuah makmal REE yang lengkap dan berdaya saing.
Sepanjang lawatan, para peserta berpeluang melihat sendiri operasi makmal, proses penyediaan sampel, kaedah analisis menggunakan instrumen canggih serta sistem kawalan kualiti yang memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan keputusan ujian.
Program ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama teknikal, perkongsian ilmu dan pengalaman antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, industri serta pihak berkepentingan dalam sektor mineral dan unsur nadir bumi yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
Melalui lawatan ini, diharapkan hubungan strategik antara Kerajaan Negeri Sarawak dan JMG akan terus diperkasakan bagi menyokong pembangunan kapasiti teknikal, pemindahan teknologi serta pembangunan infrastruktur makmal yang mampu memenuhi keperluan industri mineral masa hadapan. Usaha ini juga diyakini dapat membantu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pemain penting dalam rantaian nilai unsur nadir bumi dan mineral kritikal di rantau ini.