26/08/2026
26 OGOS 2026
TIA: Bila simptom strok datang sekejap, kemudian hilang
Seseorang sedang bercakap seperti biasa.
Tiba-tiba muka menjadi senget. Tangan sebelah terasa lemah. Pertuturan menjadi tidak jelas.
Beberapa minit kemudian, semuanya kembali normal.
Ramai akan fikir,
“Dah okay dah.”
Sebenarnya, keadaan seperti ini boleh jadi TIA — Transient Ischaemic Attack.
TIA bukan sekadar “mild stroke”.
Ia adalah warning stroke.
TIA boleh berlaku begini.
Bayangkan satu paip air yang membawa bekalan ke rumah. Tiba-tiba ada kotoran atau mendapan yang menyumbat laluan air. Aliran menjadi perlahan, kemudian hampir terhenti. Beberapa ketika selepas itu, sumbatan tadi bergerak dan air kembali mengalir seperti biasa.
Kita mungkin rasa masalah sudah selesai.
Tetapi paip itu sebenarnya masih bermasalah. Mendapan masih ada, laluan mungkin masih sempit dan sumbatan boleh berlaku semula pada bila-bila masa. Bezanya, kali kedua mungkin air tidak mengalir kembali.
Begitulah gambaran mudah TIA, atau Transient Ischaemic Attack.
Di sinilah ramai tersilap.
Mereka fikir apabila simptom hilang, masalah sudah selesai.
Sebenarnya tidak.
TIA ialah satu amaran bahawa sistem saluran darah ke otak sudah menunjukkan masalah. Kali ini aliran darah kembali pulih.
Tetapi sumbatan boleh berlaku semula pada bila-bila masa, dan serangan seterusnya mungkin tidak terbuka semula dengan sendiri.
Jika aliran darah terputus lebih lama, sel otak boleh mengalami kerosakan kekal. Pada ketika itu, ia bukan lagi TIA. Ia sudah menjadi strok.
Akibatnya boleh jauh lebih berat. Seseorang boleh kehilangan keupayaan berjalan, bercakap, menelan, melihat atau menggerakkan sebelah badan.
Ada yang akhirnya bergantung kepada orang lain untuk makan, mandi dan menguruskan diri. Ada juga yang tidak sempat pulih seperti sebelumnya.
Sebab itu TIA bukan “strok ringan” yang boleh dibiarkan.
Ia lebih tepat dianggap sebagai amaran awal bahawa strok sebenar boleh berlaku selepas itu.
Walaupun simptom sudah hilang sepenuhnya, pesakit masih perlu dinilai segera di hospital. Doktor perlu mencari puncanya, sama ada saluran darah yang sempit, darah beku, masalah irama jantung, tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi atau faktor lain yang meningkatkan risiko strok.
Rawatan selepas TIA juga bergantung kepada punca. Ada yang memerlukan ubat antiplatelet, ada yang memerlukan anticoagulant, statin, kawalan tekanan darah, kawalan diabetes atau rawatan saluran darah tertentu.
Jangan p**a mengambil aspirin sendiri tanpa penilaian doktor, kerana tidak semua simptom neurologi disebabkan oleh TIA atau strok tersumbat. Ada keadaan lain, termasuk pendarahan dalam otak, yang memerlukan rawatan berbeza.
Jangan tunggu sehingga amaran bertukar menjadi strok sebenar.
Public Health Malaysia See less