10/07/2026
JKR DAERAH JERANTUT SERAH PROJEK BENGKEL TERBUKA ADTEC JERANTUT,
BUKTI KOMITMEN DALAM PENYAMPAIAN INFRASTRUKTUR KERAJAAN.
Jerantut, 8 Julai 2026 – Jabatan Kerja Raya Daerah Jerantut hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Projek Tawaran Semula Penyiapan Baki Kerja Bagi Projek Membina Bengkel Terbuka Bahagian Teknologi Rekabentuk Produk Industri di ADTEC Jerantut, Pahang sebagai simbolik penyerahan rasmi projek kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, Yang Hormat Dato’ Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria dan turut dihadiri oleh Yang Berusaha Encik Sutekno Bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Yang Berbahagia Datuk Rospiagos Bin Taha, (Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, JTM), Yang Berusaha Ir. Julaila Binti Mansor (Jurutera Awam Penguasa Kanan Bahagian Pengurusan Projek 3, Cawangan Kerja Bangunan Am 2,Ibu Pejabat JKR Malaysia), Yang Berusaha Puan Farhana Binti Senom (Arkitek Penguasa Bahagian Arkitek, JKR Negeri Pahang), Yang Berusaha Encik Hamdan Bin Hashim (Pengarah, ADTEC JTM Kampus Jerantut), Yang Berusaha Encik Muhamad Shahin Fadhlan Bin Saidon (Pengarah Urusan Syarikat Alam Padu Enterprise), kakitangan kontraktor utama (Alam Padu Enterprise), NSC Elektrik ( WJD Solution Sdn. Bhd.), NSC Mekanikal (Aziz Tech & Enterprise), pengurusan ADTEC Jerantut serta pegawai-pegawai JKR Jerantut.
Projek ini dilaksanakan oleh JKR Daerah Jerantut sebagai agensi pelaksana dengan Yang Berusaha Ir. Adly bin Dasril bertindak sebagai Pegawai Penguasa Projek, manakala Yang Berusaha Mohammad Na'im bin Tahrim sebagai Wakil Pegawai Penguasa Utama. Pelaksanaan projek ini diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Projek 3, Cawangan Kerja Bangunan Am 2, Ibu Pejabat JKR Malaysia selaku Pengurus Program. Projek ini turut mendapat sokongan kepakaran pelbagai disiplin daripada JKR Negeri Pahang meliputi seni bina, struktur dan rekabentuk, kontrak dan ukur bahan, kejuruteraan mekanikal serta kejuruteraan elektrikal bagi memastikan setiap aspek pembinaan memenuhi piawaian teknikal, spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan.
Projek pembinaan bengkel terbuka berkeluasan 467 meter persegi ini berjaya disiapkan pada 10 April 2026, iaitu sehari lebih awal daripada tarikh siap kontrak dengan kos kontrak semasa sebanyak RM2,015,789.04. Selain menepati jadual pelaksanaan, projek ini turut merekodkan penjimatan berbanding nilai kontrak asal, sekali gus mencerminkan pengurusan projek yang cekap dan berhemah.
Dalam ucapan beliau, Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan JKR sebagai agensi teknikal utama kerajaan dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan projek pembangunan secara profesional, berpandukan prinsip masa, kos dan kualiti.
Beliau berkata, kejayaan sesuatu projek bukan sahaja diukur berdasarkan penyiapan fizikal semata-mata, malah turut dinilai melalui keupayaan semua pihak mengurus cabaran pelaksanaan, memastikan pematuhan kepada spesifikasi teknikal serta menyampaikan nilai terbaik bagi setiap peruntukan yang dibelanjakan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia selaku pemilik projek, Bahagian Pengurusan Projek 3, Cawangan Kerja Bangunan Am 2, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Bahagian Bangunan JKR Pahang, seluruh pasukan reka bentuk, JKR Daerah Jerantut, Alam Padu Enterprise selaku kontraktor utama serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan projek ini.
Kemudahan yang telah siap ini menyediakan ruang pembelajaran dan latihan yang lebih selamat, moden dan kondusif kepada warga ADTEC Jerantut, sekali gus menyokong keperluan operasi institusi tersebut dalam melaksanakan latihan kemahiran kepada para pelajarnya.
Majlis diakhiri dengan sesi menandatangani dokumen penyerahan dan penyerahan simbolik projek kepada wakil Kementerian Sumber Manusia sebagai tanda selesainya pelaksanaan projek dan bermulanya fasa penggunaan kemudahan tersebut.
Kejayaan ini mencerminkan iltizam berterusan Jabatan Kerja Raya dalam memperkukuh penyampaian projek pembangunan kerajaan melalui amalan pengurusan projek yang sistematik, tadbir urus yang baik serta kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan demi menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan memberi manfaat kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
JKR Negeri Pahang
Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department )
Adtec Jerantut