06/05/2026
ADUN Lantikan di Johor: Pendemokrasian atau Rekaan Kuasa?
Cadangan Kerajaan Johor untuk memperkenalkan lima ADUN lantikan bukan sekadar isu teknikal pentadbiran. Ia menyentuh asas paling penting dalam sistem demokrasi iaitu siapa sebenarnya yang memberi kuasa, sama ada rakyat atau kerajaan.
Dalam sistem demokrasi berparlimen seperti sistem Westminster yang diamalkan di negara ini, legitimasi politik datang daripada pilihan raya. Setiap wakil rakyat memperoleh kedudukan melalui keputusan pengundi setelah melalui proses pertandingan politik yang terbuka. Ini bukan sekadar prosedur formal, tetapi sumber sah kepada kuasa politik.
Apabila timbul cadangan untuk melantik ADUN tanpa melalui pilihan raya, maka wujud keadaan di mana kuasa politik tidak lagi sepenuhnya berpunca daripada legitimasi pilihan raya.
--------------------------------------------------------------------------
Johor Tidak Berdepan Krisis Representasi
Setiap pembaharuan sepatutnya bermula dengan penilaian terhadap masalah sebenar yang ingin diselesaikan.
Dalam konteks Johor hari ini, tidak terdapat bukti kukuh bahawa Dewan Undangan Negeri gagal berfungsi. Proses perbahasan berjalan, undang undang diluluskan, dan wakil rakyat dari pelbagai latar belakang telah pun wujud dalam sistem sedia ada.
Jika hujah utama ialah keperluan menambah kepakaran atau memperluas suara masyarakat sivil, maka persoalan asas ialah sama ada ruang tersebut benar benar tidak wujud dalam kerangka sedia ada.
Hakikatnya, kerajaan negeri masih mempunyai pelbagai saluran seperti jawatankuasa khas, badan penasihat serta pelantikan dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan. Kesemua mekanisme ini boleh digunakan tanpa mengubah struktur asas demokrasi dalam dewan undangan negeri. Oleh itu cadangan ini lebih cenderung kepada pilihan politik berbanding keperluan yang mendesak.
Kehadiran ADUN lantikan di negeri lain tidak menjadikannya keperluan automatik untuk Johor kerana setiap negeri mempunyai sejarah, struktur dan keperluan politik yang berbeza. Persoalan utama bukan sama ada ia wujud di tempat lain, tetapi sama ada Johor benar benar memerlukannya. Setakat ini, tidak terdapat bukti bahawa sistem demokrasi Johor gagal sehingga memerlukan pelantikan wakil tanpa melalui pilihan raya.
--------------------------------------------------------------------------
Isyarat Kuota Parti Lebih Dominan Daripada Pembaharuan
Lebih membimbangkan apabila perbincangan awal turut menyentuh soal pembahagian kerusi antara parti politik.
Ini menunjukkan bahawa fokus perbincangan bukan lagi kepada peningkatan kualiti dasar atau representasi masyarakat, tetapi kepada pengaturan kedudukan kuasa dalam struktur politik serta pembinaan kekuatan politik.
Sekiranya matlamat sebenar adalah memperkukuh dasar awam, maka perbincangan sepatutnya berasaskan kepakaran, keseimbangan gender, penyertaan golongan muda dan keterlibatan masyarakat sivil. Apabila keutamaan diberikan kepada agihan kerusi, ia menunjukkan bahawa isu ini lebih berkisar kepada perebutan kuasa berbanding reformasi institusi.
--------------------------------------------------------------------------
Majoriti Terlalu Selesa Tanpa Semak Imbang Tambahan
Penambahan lima ADUN lantikan bukan sesuatu yang neutral dari sudut politik. Ia berpotensi mengubah imbangan kuasa dalam Dewan Undangan Negeri.
Dalam sistem demokrasi yang sihat, semak dan imbang bergantung kepada keseimbangan antara kerajaan dan pembangkang. Apabila kerajaan memiliki majoriti yang terlalu selesa, lebih lebih lagi melalui kehadiran wakil yang tidak melalui pilihan raya, beberapa risiko akan timbul.
Antaranya ialah proses penggubalan undang undang yang kurang diteliti secara mendalam serta perbahasan yang cenderung menjadi formaliti tanpa cabaran yang bermakna.
Keadaan ini boleh mewujudkan majoriti besar yang tidak sepenuhnya mencerminkan kehendak pengundi sebenar.
--------------------------------------------------------------------------
Runtuhnya Kepercayaan Terhadap Proses Pilihan Raya
Sekiranya sistem pelantikan ini diterima, ia akan membentuk satu amalan baharu dalam politik negeri.
Dalam sistem yang sihat, kekalahan dalam pilihan raya membawa mesej jelas bahawa calon perlu kembali kepada rakyat, memperbaiki kelemahan dan bertanding semula melalui proses demokrasi yang sah.
Namun apabila wujud ruang pelantikan, kekalahan tidak lagi membawa kesudahan yang mutlak. Ia boleh digantikan melalui pelantikan politik, sekali gus mengubah persepsi terhadap makna kemenangan dan kekalahan dalam pilihan raya serta menghakis keyakinan terhadap sistem demokrasi apabila sempadan antara mandat pilihan raya dan pelantikan politik menjadi semakin kabur.
--------------------------------------------------------------------------
Reform Sebenar Bukan Menambah Kerusi
Menolak cadangan ADUN lantikan tidak bermaksud menolak pembaharuan. Sebaliknya, Johor memerlukan reform yang benar benar memperkukuh institusi demokrasi.
Antaranya ialah menghidupkan budaya pencelahan dalam perbahasan dewan secara terkawal. Dalam amalan sistem Westminster seperti di House of Commons, interaksi spontan ini membolehkan hujah diuji secara langsung dan mengelakkan perbahasan menjadi ucapan sehala.
Selain itu, enakmen kebebasan maklumat perlu diperkenalkan bagi membuka akses rakyat kepada dokumen kerajaan. Pengalaman beberapa negeri menunjukkan bahawa ketelusan meningkatkan akauntabiliti serta menjadikan perbahasan dasar lebih berasaskan bukti.
Setiap ADUN wajar disokong dengan peruntukan untuk mendapatkan khidmat penyelidik. Kekangan utama wakil rakyat ialah akses data dan kapasiti analisis. Dengan sokongan ini, perbahasan dapat diperkukuh dengan bukti yang lebih kukuh serta meningkatkan kualiti keputusan dasar.
--------------------------------------------------------------------------
Kesimpulan: Demokrasi Tidak Diperkukuh Dengan Pelantikan
Isu ADUN lantikan bukan sekadar mengenai penambahan kerusi dalam dewan, tetapi berkait dengan arah masa depan demokrasi Johor.
Jika matlamatnya adalah memperkukuh institusi, maka jalan yang lebih tepat ialah memperluas ketelusan, memperkukuh proses perbahasan, memperkasa jawatankuasa serta meningkatkan kapasiti wakil rakyat sendiri.
Semua ini membawa demokrasi lebih dekat kepada rakyat.
Sebaliknya, pelantikan ADUN tanpa pilihan raya tidak memperluas demokrasi. Ia tidak menambah kuasa rakyat, sebaliknya menambah ruang kepada kuasa yang tidak melalui proses pilihan raya.
Sistem demokrasi negara ini berdiri atas prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman. Keseimbangan ini memastikan tiada satu cabang kuasa menguasai keseluruhan sistem. Dalam konteks ini, sebarang bentuk pelantikan dalam badan legislatif tanpa melalui pilihan raya perlu dilihat dengan berhati hati kerana ia boleh mengganggu keseimbangan semak dan imbang yang menjadi asas demokrasi berparlimen.
Akhirnya pilihan ini sangat jelas. Sama ada kita kekal dengan prinsip bahawa kuasa politik datang daripada rakyat melalui pilihan raya, atau kita mula menerima bahawa kuasa boleh ditentukan melalui pelantikan.
Dalam keadaan Johor hari ini, jawapannya wajar tegas.
Demokrasi tidak runtuh kerana kekurangan wakil, tetapi apabila kuasa mula ditambah tanpa semakan daripada rakyat.