13/06/2026
Orang Muda Johor atau belia Johor merupakan aset strategik dan tonggak utama dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta negara. Dalam usaha merealisasikan aspirasi Maju Johor, golongan muda bukan sahaja sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan, malah pemacu pembangunan negeri yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan kemajuan Johor pada hari ini.
Bagi memastikan Johor terus melangkah terkehadapan, ia tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata. Sebaliknya memerlukan penglibatan aktif generasi muda untuk menerajui pelbagai bidang termasuk pendidikan, kemahiran, teknologi, keusahawanan dan aktiviti kemasyarakatan. Dengan potensi, kreativiti dan semangat yang dimiliki, golongan belia mampu menjadi pemangkin dalam merealisasikan visi Maju Johor.
Alhamdulillah, saya amat menghargai peluang untuk bersama-sama belia daerah Muar dalam Program Ayuh Belia Negeri Johor (ABNJ) 2026 anjuran Institut Dato’ Onn (IDO) . Program ini menjadi wadah yang amat bermakna untuk bertukar pandangan, berkongsi idea serta membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan negeri keseluruhannya.
Selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa menitikberatkan pembangunan modal insan, platform ini membuka ruang kepada golongan belia untuk memahami dengan lebih dekat akan pelbagai inisiatif pembangunan negeri termasuk Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan Johor Talent Development Council (JTDC) yang menawarkan pelbagai peluang ekonomi, pendidikan, pembangunan bakat, kemahiran serta kerjaya kepada anak muda Johor.
Terima kasih dan tahniah Ts. Mohd Johari bin Tarmidi, Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO) dan pasukannya atas penganjuran program yang sangat bermakna ini.