17/04/2026
𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐀𝐩𝐫𝐞𝐬𝐢𝐚𝐬𝐢 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐮𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠 & 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦 𝐔𝐓𝐌 𝐒𝐞𝐫𝐚𝐦𝐛𝐢 𝐀𝐥-𝐐𝐮𝐝𝐬
Majlis telah berlangsung di Dewan Bankuet, Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, bermula sekitar jam 3.00 petang. Majlis ini telah dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Hj. Mokhtar bersama isteri, Puan Sri Mastura Abdul Rahman; Bendahari Viva Palestina Malaysia (VPM) Puan Sri Datin Norma Hashim. Turut hadir ialah Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus; Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad; Pengerusi Bahagian Pemajuan Universiti, Prof. Dr. Yusof bin Boon; serta enam orang pelajar Palestin penerima Biasiswa UTM Serambi Al-Quds.
Program UTM Serambi Al-Quds telah dirasmikan pada 16 Julai 2022 sempena Majlis Royal Gala Dinner 2022. Program ini merupakan inisiatif tajaan khas bagi pelajar dari Palestin yang melanjutkan pengajian di UTM, khususnya di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan para penyumbang yang telah menaja program ini serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar penerima biasiswa dan pihak penyumbang.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang atas sokongan berterusan dalam menjayakan inisiatif ini. Penghargaan turut dirakamkan kepada para pelajar Palestin atas kerjasama dan kehadiran mereka dalam memeriahkan majlis ini. Semoga usaha ini terus diperkukuh dan memberi manfaat berpanjangan kepada semua.
“UTM Cares, Endowmen Cakna”