05/07/2026
Seuntai Kasih, Sekalung Budi: Majlis Lambaian Kasih SK Kompleks UDA
Majlis Lambaian Kasih Cikgu Maryani, Junn Julaiha & Suriyani✨
Hari Jumaat, 3 Julai 2026, menjadi detik bersejarah yang penuh emosi buat seluruh warga SK Kompleks UDA (SKKU) apabila berlangsungnya Majlis Lambaian Kasih bagi meraikan tiga permata pendidik yang amat disayangi. Kehilangan serentak Cikgu Mariyani, Cikgu Suriyani, dan Cikgu Junn Julaiha pastinya meninggalkan impak yang amat mendalam yang sukar diganti.
Bukan satu jangka masa yang singkat, ketiga-tiga guru senior dan berpengalaman ini telah menabur bakti dan mencurahkan keringat melebihi 20 tahun di SKKU. Sepanjang lebih dua dekad, mereka telah menyaksikan banyak perubahan, mendidik generasi demi generasi, serta menjadi mentor dan tulang belakang kepada guru-guru muda. Komitmen yang tidak pernah luntur dan kesetiaan yang utuh kepada sekolah ini menjadikan perpindahan mereka sebagai satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh barisan pentadbir, rakan guru, ibu bapa, dan para pelajar.
Keistimewaan luar biasa ketiga-tiga tokoh pendidik ini terletak pada keikhlasan mereka dalam mendidik anak-anak berkeperluan khas (Pendidikan Khas). Tugas mengendalikan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menuntut pengorbanan, dan mereka telah membuktikan bahawa kasih sayang mampu melangkaui segala cabaran. Setiap hari dilalui dengan penuh kecekalan, memastikan anak-anak syurga ini tidak tercicir, sebaliknya diberikan perhatian yang adil, bimbingan emosi yang stabil, serta ilmu kemahiran hidup yang amat bermakna.
Melambai pergi dengan sejuta kenangan, kami mendoakan agar Cikgu Mariyani, Cikgu Suriyani, dan Cikgu Junn Julaiha sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kebahagiaan bersama keluarga, dan dilimpahi rahmat dalam fasa kehidupan yang baharu.
Selamat maju jaya di skeolah baharu. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas segala khidmat bakti, pengorbanan masa, tenaga, dan kasih sayang yang telah dicurahkan demi mencelikkan minda anak bangsa.
Tuang air di dalam cawan,
Hidangan mesra buat tetamu;
Selamat berpisah wahai budiman,
Jasa baktimu tetap disanjung selalu.