14/08/2026
PONTIAN, 14 Ogos – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak awal April lalu selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dalam tiga serbuan di sekitar Pontian pada 11 Ogos 2026.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pontian hasil maklumat risikan dan berjaya merampas keseluruhan 8.21 kilogram pelbagai jenis dadah.
Dalam serbuan pertama di Taman Megah, Pontian, polis merampas 410.02 gram serbuk ekstasi, 19.17 gram syabu, 30 biji pil Erimin 5 dan tiga biji pil ekstasi.
Serbuan kedua di sebuah hotel di Taman Megah p**a membawa kepada rampasan 231.71 gram serbuk ekstasi, 16.10 gram syabu dan 8.56 gram ketamin.
Sementara itu, serbuan ketiga di sebuah homestay di Pekan Nenas menemukan 1.50 kilogram serbuk ekstasi, 50.61 gram ketamin, 20 biji pil Erimin 5 serta 5.96 kilogram serbuk M**A.
Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM921,022, manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan bersama sitaan adalah RM926,522.
Polis turut menyita sebuah kereta Proton Wira dan wang tunai RM500.
Suspek dipercayai berperanan sebagai runner yang mencari pelanggan untuk sindiket berkenaan. Saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Menurut polis, jumlah dadah yang dirampas berpotensi menjejaskan kira-kira 27,455 orang sekiranya diedarkan kepada pengguna.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 Ogos 2026 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Polis menegaskan komitmen untuk terus membanteras kegiatan pengedaran dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak berkuasa.
Sumber : Polis Daerah Pontian