12/06/2021
Orang Scotland Dan Kajang.
Kalau kita melalui jalan lama Kajang - Semenyih kita akan terlihat sebuah papan tanda lama terpampang di sudut simpang jalan Klinik Kesihatan Kajang. Sebuah papan tanda ladang getah tertua di negara ini.
R.C.M.Kindersley dan D.C.P.Kindersley dua beradik berasal dari Scotland yang bertanggungjawab mengasaskan Inch Kenneth Rubber Estates Ltd di Kajang ini pada awalnya membuka ladang pertama dengan tanaman kopi di Kajang pada tahun 1894. Namun dua tahun kemudiannya pada tahun 1896 mereka telah menukarkan tananam kopi mereka kepada getah.
Mereka telah mendapat dorongan dan panduan daripada ahli botani Henry Ridley (Bapa Getah Malaya) yang semasa itu giat mempromosikan penanaman getah sebagai sumber ekonomi baru di Malaya menggantikan tanaman kopi yang semasa itu teruk mengalami kerugian akibat jangkitan penyakit.
Dua beradik ini telah mengambil peluang tersebut dengan menanam 5 ekar pokok getah di atas ladang kopi yang mereka usahakan sebelum ini, yang kemudiannya empayar perladangan mereka makin membesar dengan menguasai tanah - tanah di sekitar Kajang, Semenyih, Rekoh, Bangi dan Prang Besar yang dulunya hutan belukar bertukar menjadi ladang - ladang getah.
Keyakinan mereka untuk mengusahakan ladang getah ini juga adalah berdasarkan faktor permintaan luar biasa dunia terhadap getah semasa itu terutamanya setelah Dunlop mula mencipta dan mengeluarkan tayar getah pneumatic pada tahun 1888 untuk industri pemotoran yang berkembang pesat semasa itu.
Syarikat Inch Kenneth Rubber Estates Ltd yang diiktiraf sebagai pelopor penanaman ladang getah secara komersial di negara ini pada mulanya ladang getah mereka diusahakan oleh pekerja - pekerja berasal dari Jawa kemudian setelah membuka ladang secara besar - besaran mereka mula mengambil p**a ribuan pekerja - pekerja Tamil dari Selatan India.
Kini selepas lebih satu abad beroperasi di negara ini Inch Kenneth Kajang Rubber Public Limited Company terus kukuh menjalankan perniagaan mereka sebagai syarikat investment holding yang terlibat dalam aktiviti perladangan kelapa sawit, getah, resort perlancongan, pembangunan hartanah di Malaysia dan juga Thailand.
Kesan ekonomi dan sosial yang bawa oleh daripada pengaruh dua beradik Scotland ini sangatlah besar kepada daerah ini daripada pembinaan Hospital Kajang, jaringan jalanraya, stesen keretapi, pembinaan pekan, penubuhan sekolah sampailah kemasukan penduduk keturunan Jawa dan India di daerah ini.
Fz