11/08/2026
📌 PELANCARAN COMBI BAHARU, ONE HOUR MALAYSIA CLEAN UP & TAKLIMAT REFRESHER COMBI
📅 9 Ogos 2026
Program COMBI MyCHAMPION terus diperkasakan sebagai salah satu inisiatif penting dalam membudayakan kebersihan persekitaran, meningkatkan kesedaran komuniti serta memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan denggi di Daerah Kampar.
Program dimulakan dengan aktiviti senam aerobik yang melibatkan para peserta sebelum diteruskan dengan pelaksanaan One Hour Malaysia Clean Up, iaitu aktiviti pembersihan persekitaran selama satu jam yang dilaksanakan secara berkala setiap bulan. Aktiviti ini memberi penekanan kepada usaha mengenal pasti dan menghapuskan tempat-tempat berpotensi menjadi pembiakan nyamuk Aedes.
Turut berlangsung ialah Pelancaran COMBI Baharu Taman Awan Mas serta Taklimat Refresher COMBI kepada ahli-ahli COMBI. Taklimat ini bertujuan menyegarkan semula pengetahuan, peranan dan tanggungjawab ahli dalam menggerakkan aktiviti pencegahan denggi serta memperkukuh penglibatan komuniti di lokaliti masing-masing.
Bagi memeriahkan program dan menggalakkan penyertaan komuniti, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan, antaranya pertandingan mewarna, pertandingan gubahan batik serta cabutan bertuah. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana program, malah dapat mengeratkan hubungan antara ahli COMBI, komuniti setempat dan agensi yang terlibat.
Majlis telah dirasmikan oleh YB Sasha Veraiah, Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) Malim Nawar.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada:
▪️ Dr. Che Wan Ilmiyah binti Che Wan Ahmad, Pegawai Kesihatan Daerah Kampar
▪️ Dr. Muhammad Siddiq bin Daud, Pakar Perubatan Kesihatan Awam
▪️ En. Muhammad Syazwan Asyraf bin Johan, Penolong Perpaduan Daerah Kampar
▪️ En. Ahmad Tarmizi bin Mohd Ghazali, Pengerusi COMBI Daerah Kampar
▪️ En. Abdul Aziz bin Alias, Pengerusi KRT Taman Awan Emas dan Taman Awan Jaya
▪️ En. Nasir bin Abu Sani, Pengerusi COMBI Taman Awan Emas dan Taman Awan Jaya
Terima kasih juga kepada semua ahli COMBI dan komuniti di lokaliti sekitar Daerah Kampar yang telah hadir serta memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen dalam menjayakan program ini.
Semoga usaha berterusan seperti ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran serta memperkukuh tindakan bersama dalam mencegah pembiakan nyamuk Aedes dan penularan denggi.
💚 Mencegah lebih baik daripada merawat.
🦟 Cari dan musnah tempat pembiakan Aedes.
🤝 Bersama komuniti, kita cegah denggi.