15/08/2026
PEMANSUHAN AUKU: KEMENANGAN PANJANG GERAKAN MAHASISWA
Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Keputusan bersejarah ini menamatkan penantian panjang mahasiswa yang selama lebih lima dekad memperjuangkan kebebasan, autonomi dan pendemokrasian kampus.
AUKU diperkenalkan pada tahun 1971 sebagai undang-undang yang mengawal penubuhan, pentadbiran dan perjalanan universiti awam. Namun, pindaan besar pada tahun 1975 selepas kebangkitan gerakan mahasiswa yang lantang membawa isu kemiskinan, ketidakadilan dan penderitaan rakyat telah memperketat kawalan terhadap mahasiswa.
Melalui pelbagai peruntukan dan peraturan tatatertib, penglibatan mahasiswa dalam politik, pertubuhan luar serta kegiatan awam pernah disekat. Kesatuan mahasiswa kehilangan autonomi, pengurusan kewangan dikawal dan kuasa besar berkaitan tatatertib diletakkan pada pentadbiran universiti. Kampus yang sepatutnya menjadi medan percambahan pemikiran akhirnya dibayangi budaya takut, pengawasan dan kepatuhan.
Saya sendiri pernah melalui zaman sebagai mahasiswa ketika negara berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional dan merasai bagaimana AUKU membataskan ruang mahasiswa untuk bersuara serta terlibat dalam isu masyarakat. Ketika itu, mahasiswa sentiasa dibayangi kebimbangan terhadap tindakan pentadbiran dan tatatertib sekiranya terlalu lantang mengkritik atau menyatakan pendirian. Pengalaman tersebut menjadikan pengumuman pemansuhan AUKU ini sangat dekat dan bermakna kepada saya secara peribadi.
Walaupun AUKU telah beberapa kali dipinda termasuk pindaan pada 2012 dan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) pada 2018 yang membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk berpolitik, tuntutan mahasiswa tidak pernah terhenti. Mereka terus menuntut pemansuhan AUKU secara menyeluruh, pemulihan kesatuan pelajar, kebebasan bersuara dan berpersatuan, autonomi mengurus kegiatan serta kewangan, kebebasan akademik dan penglibatan yang lebih bermakna dalam tadbir urus universiti.
Pemansuhan AUKU bukan bermaksud universiti dibiarkan tanpa undang-undang atau tatakelola. Sebaliknya, ia membuka jalan kepada pembentukan kerangka baharu yang lebih demokratik, adil dan sesuai dengan kematangan mahasiswa tanpa mengekalkan peruntukan yang boleh digunakan untuk mengawal atau menghukum suara kritis.
Mahasiswa bukan musuh negara. Mereka ialah kelompok intelektual yang mesti diberikan ruang untuk bertanya, mengkritik, mencabar kebiasaan dan menawarkan gagasan baharu. Negara yang yakin terhadap masa hadapannya tidak perlu takut kepada suara anak muda.
Hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut lahir daripada tradisi gerakan mahasiswa telah mengumumkan pemansuhan AUKU. Pengumuman ini merupakan pengiktirafan terhadap perjuangan panjang mahasiswa merentas generasi.
Terima kasih, Perdana Menteri. Terima kasih juga kepada seluruh generasi mahasiswa dan aktivis yang tidak pernah berhenti memperjuangkan kebebasan kampus. Semoga pemansuhan ini benar-benar mengembalikan universiti sebagai medan ilmu, keberanian dan pembinaan pemimpin masa hadapan.
Hidup mahasiswa. Merdekakan kampus!
Muhammad Farid Mohd Mumazaini
Ketua Pemuda AMANAH
Negeri Terengganu