23/05/2025
KENYATAAN MEDIA | 15 MEI 2025 | KHAMIS
𝗦𝗔𝗕𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗨 𝗦𝗢𝗟𝗨𝗦𝗜, 𝗕𝗨𝗞𝗔𝗡 𝗥𝗘𝗧𝗢𝗥𝗜𝗞 𝗟𝗔𝗠𝗔
Saya mengambil maklum kenyataan media Ketua Penerangan UMNO Sabah, YB Datuk Suhaimi Nasir, yang mengangkat isu kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya di negeri ini. Sebagai Ahli Parlimen, adalah hak beliau untuk menyuarakan suara rakyat.
Namun sebagai bekas ahli daripada kerajaan negeri terdahulu, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk bersikap jujur dalam menilai dan adil dalam memberikan komentar.
Kenyataan beliau menyebut kutipan hasil balak RM5.3 bilion antara tahun 1999 hingga 2023 — dan mempersoalkan ke mana hilangnya kekayaan negeri. Secara tidak langsung, ini merupakan satu pengakuan bahawa puluhan tahun pemerintahan terdahulu yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional, gagal menterjemahkan hasil itu kepada pembangunan asas untuk rakyat Sabah.
Jika diperhalusi, kerajaan yang ada hari ini hanya menguruskan hasil balak bagi tempoh 2020 hingga 2023, dengan purata kutipan sekitar RM213 juta setahun, berjumlah lebih kurang RM639 juta. Jumlah ini jika dibandingkan dengan keperluan menyelesaikan infrastruktur asas seluruh negeri, ibarat cuba membeli kenderaan Toyota Super King dengan bajet Perodua Kancil.
Mustahil dapat memenuhi jurang pembangunan yang telah lama diwarisi.
Ironinya, Datuk Suhaimi juga perlu menjawab persoalan berkenaan dana sebanyak RM7.5 bilion yang pernah diperuntukkan antara 2006 hingga 2015 oleh kerajaan Persekutuan (yang juga dipimpin oleh UMNO) bagi menyelesaikan isu-isu kemudahan asas. Ke mana perginya dana tersebut?
Perlu diingat, sejak September 2020, beliau dan partinya turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang mengambil alih tampuk pentadbiran daripada Warisan. Bahkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri B**g Moktar Radin, dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah — namun tidak banyak penyelesaian konkrit yang dapat dibuktikan sepanjang tempoh tersebut.
Kini, di bawah pentadbiran baharu yang lebih tersusun, isu-isu yang sama sedang ditangani melalui pendekatan menyeluruh:
Isu bekalan air: Dijangka selesai menjelang tahun 2030 apabila projek-projek utama siap sepenuhnya termasuk Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang mampu menyalurkan 6,000 juta liter air sehari, cukup untuk keperluan rakyat selama 100 tahun, di samping menyumbang 15% kepada tenaga grid Sabah.
Isu tenaga elektrik: Diselesaikan menerusi penambahan sumber tenaga termasuk solar, bateri simpanan, serta sambungan tenaga dari Sarawak ke grid Sabah.
Jalan raya: Jalan raya Persekutuan seperti Pan Borneo dijangka menyelesaikan sebahagian besar masalah, manakala kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM500 juta untuk menaik taraf jalan raya negeri khususnya di kawasan utara Sabah.
Penting untuk difahami, banyak jalan utama adalah jalan Persekutuan. Tanggungjawab penyelenggaraan berada di bawah Kerajaan Persekutuan — bukan negeri. Sebagai Ahli Parlimen, Datuk Suhaimi tentu lebih arif akan pemisahan bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri. Maka tidak wajar segala kesalahan ditujukan kepada kerajaan negeri semata-mata.
Lebih baik, beliau mengangkat suara itu kepada ketuanya sendiri — Presiden UMNO yang kini juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Bukankah kementerian itu antara yang mempunyai tanggungjawab langsung terhadap infrastruktur luar bandar?
Kerajaan Sabah hari ini menunjukkan kadar penyelesaian yang lebih tinggi berbanding era lalu, kerana pusat kuasa dan keikhlasan tadbir urus kini kembali kepada rakyat Sabah melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kritiklah secara berfakta, bukan dengan naratif sensasi yang membangkitkan keresahan rakyat semata-mata.
YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan
Ahli Dewan Undangan Negeri N.68 Apas
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)