17/08/2026
MESYUARAT PEMUKTAMADAN CADANGAN PEMERKASAAN STRUKTUR TADBIR URUS JAWATANKUASA QUALITY ASSURANCE (QA) KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM)
14 Ogos 2026 | Bilik Gerakan KKM
✨DETIK BERSEJARAH: TADBIR URUS BAHARU QA KKM DILULUSKAN! ✨
Satu detik bersejarah telah tercipta apabila syor penubuhan Jawatankuasa QA KKM baharu telah dimuktamadkan secara rasmi.
Di bawah tadbir urus baharu ini, sebanyak 37 inisiatif kualiti merentas bahagian/program akan dipantau secara bersepadu di bawah kepimpinan KPK. Kesemua inisiatif ini dihimpunkan di dalam tiga (3) Kumpulan Kerja Strategik (KKS) mengikut bidang fokus masing-masing yang akan dipengerusikan secara bersama oleh kesemua Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (TKPK).
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Mahathar Bin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) KKM dan dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi dan pimpinan atasan KKM itu telah meneliti dan seterusnya bersetuju untuk meluluskan struktur tadbir urus tersebut.
Penstrukturan baharu ini menjadi titik tolak transformasi tadbir urus inisiatif kualiti KKM dalam meningkatkan kecekapan pemantauan. Melalui integrasi ini, penyelarasan dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berasaskan kolaborasi merentas bahagian, sekali gus memantapkan kerangka Quality Assurance Programme (QAP) yang telah bertapak lebih daripada empat dekad lalu.
Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IHSR) selaku Sekretariat QA yang telah diberi mandat untuk menyelaras dan menerajui usaha penstrukturan tersebut sejak Disember 2025 telah mengadakan beberapa siri sesi libat urus dan mesyuarat bersama 26 bahagian serta institusi, dengan penglibatan lebih 60 orang pegawai pada setiap sesi.
Usaha selama hampir lapan bulan tersebut telah berjaya dinoktahkan pada sesi mesyuarat tersebut dengan kerjasama serta komitmen yang diberikan oleh pegawai-pegawai penyelaras inisiatif kualiti di peringkat bahagian dan institusi serta QA Advocates.
Kelulusan ini akan disusuli dengan sesi libat urus bersama semua sekretariat KKS sebagai persediaan sebelum mesyuarat pertama diadakan pada penghujung tahun ini.