09/10/2026
WINS 2051 & BELANJAWAN 2027
Oleh: Syahir Sulaiman
Ketika membentangkan Ucapan Dasar pada Muktamar Tahunan PAS 2026, Presiden PAS telah mengangkat โWawasan Induk Negara Sejahtera 2051โ (WINS 2051) sebagai gagasan besar masa depan negara.
WINS 2051 merupakan pelan induk jangka panjang yang menggariskan kerangka pembangunan negara berteraskan Islam untuk dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2051.
Dilancarkan pada 2017 sebagai tawaran dasar PAS menjelang PRU14, WINS 2051 kini ditambah baik dengan pelan tindakan dan penanda aras yang lebih jelas, hasil kerjasama ilmuwan, profesional dan teknokrat bagi pelaksanaannya selepas PRU16.
Tempoh Masa
Pemilihan tahun 2051 mempunyai makna tersendiri, bersempena satu abad penubuhan PAS, sekali gus mencerminkan iltizam parti untuk menawarkan penyelesaian berteraskan Islam secara praktikal dan berperingkat dalam konteks Malaysia.
Pada Fasa 1 (Pemulihan Negara), penekanan diberikan kepada usaha menangani permasalahan utama negara, diikuti Fasa 2 untuk mengangkat Malaysia sebagai โNegara Modelโ, seterusnya Fasa 3 bagi memposisikan Malaysia sebagai โNegara Memimpinโ di peringkat antarabangsa.
Pada masa yang sama, beberapa pelan induk jangka panjang telah dirangka di peringkat negeri, antaranya Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di Kelantan, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di Terengganu, Pelan Strategik โThe Greater Kedahโ di Kedah, serta yang terbaharu, Pelan Strategik Ekonomi dan Pembangunan Insan untuk Selangor Mampan (EHSAN) di Selangor.
Dalam hal ini, PAS berkeyakinan bahawa Malaysia memiliki segala potensi dan sumber yang perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi membina masa depan yang lebih sejahtera untuk generasi akan datang.
Keutamaan Dasar
Bagi menterjemahkan kerangka tersebut, WINS 2051 menggariskan lima (5) bidang tumpuan sebagai hala tuju dasar dan agenda utama, iaitu:
i. Politik โ Integriti, Keadilan, Kestabilan
ii. Ekonomi โ Kemakmuran, Pengagihan, Penciptaan Nilai
iii. Sosial โ Pendidikan, Kesihatan, Kebajikan
iv. Perpaduan โ Masyarakat Majmuk, Adil Untuk Semua
v. Antarabangsa โ Dasar Luar Berdaulat dan Bermaruah
Dalam konteks Belanjawan 2027, WINS 2051 menawarkan suatu kerangka dasar yang relevan untuk memperbaiki struktur ekonomi, memperkukuh kedudukan fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pada asasnya, Islam meletakkan kegiatan ekonomi sebagai sebahagian daripada kewajipan memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan.
Kekayaan negara dan kitaran ekonomi p**a hendaklah memberi manfaat kepada rakyat secara adil dan meluas.
Atas prinsip ini, Presiden PAS menegaskan pertumbuhan ekonomi mesti dinikmati oleh segenap lapisan rakyat melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti, kos sara hidup yang munasabah serta pengagihan kekayaan yang lebih adil.
Sehubungan itu, Belanjawan 2027 perlu memperkukuh kebajikan rakyat melalui penyaluran subsidi dan bantuan sosial yang lebih berkesan bagi meringankan kos sara hidup, serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Penilaian menyeluruh terhadap beban kewangan isi rumah perlu merangkumi kos makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan mampu milik, pengangkutan awam serta penjagaan anak-anak dan warga emas.
Di samping itu, keresahan rakyat terhadap mutu perkhidmatan kesihatan dan kualiti sistem pendidikan negara tidak boleh dipandang ringan, khususnya isu kesihatan mental dan insiden keselamatan pelajar di sekolah yang semakin mendapat perhatian.
Pada masa sama, pembangunan inklusif perlu memastikan setiap negeri menikmati peluang ekonomi, pelaburan dan kemudahan asas secara saksama, seterusnya merapatkan jurang pendapatan serta pembangunan antara wilayah.
Selain itu, aspek keterjaminan tenaga dan makanan hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada kedaulatan negara.
Pelaburan dalam sektor strategik, perusahaan tempatan, industri halal dan pekerjaan bernilai tinggi perlu diperkasakan supaya negara mempunyai asas ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya saing pada masa hadapan.
Selanjutnya, agenda pemerkasaan ekonomi setempat dan komuniti perlu terus diperluas melalui bantuan pembiayaan, bimbingan dan latihan bagi meningkatkan daya saing serta daya tahan PMKS, koperasi dan usahawan belia, wanita serta desa.
Terpenting, kewangan negara hendaklah diurus secara berhemah melalui disiplin fiskal bagi mengelakkan berulangnya amalan ketirisan, pembaziran, rasuah, monipoli dan salah guna kuasa.
Pemantauan, audit dan hisbah hendaklah diperkukuh bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Firman Allah SWT (maksudnya):
โDan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikianโ (Al-Furqan: 67)
Inilah gagasan yang diketengahkan oleh PAS melalui WINS 2051, iaitu membina sebuah negara yang makmur, adil, berintegriti dan berkebajikan.
Justeru, menjelang pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri hari ini, yang dijangka menjadi belanjawan terakhir sebelum PRU16, setiap kita berhak mempersoalkan setiap cukai yang dikutip dan setiap ringgit yang dibelanjakan; demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara.
Selamat berbahas, sekalian rakyat dan wakil rakyat.
SS, Parlimen
9 Oktober 2026