12/06/2026
𝗣𝗲𝗿𝘁𝗶𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸
Apabila berlaku krisis PAS–Bersatu sehingga membawa kepada perpisahan politik antara dua parti tonggak dalam Perikatan Nasional (PN), ada dalam kalangan yang tidak bersetuju dengan keputusan PAS mencari pihak untuk dipersalahkan. Lalu segala kritikan ditumpukan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tuan Guru sejak dahulu dikenali sebagai seorang pemimpin yang mempunyai prinsip tersendiri. Dalam membuat pertimbangan, beliau sentiasa melihat kepada dua perkara utama, iaitu maslahat agama dan maslahat parti. Namun keputusan tersebut bukanlah keputusan individu. Ia melalui proses syura (perbincangan dalam Majlis Syura Ulamak serta Jawatankuasa PAS Pusat). Dengan kata lain, keputusan itu dibuat secara kolektif.
Dalam politik, pertimbangan dan keputusan yang dibuat termasuk dalam ruang ijtihad. Ijtihad boleh tepat dan boleh juga tersasar. Namun ia tetap perlu dilakukan kerana tanpa ijtihad, organisasi akan menjadi beku dan ketinggalan. Sedangkan politik sentiasa bersifat dinamik dan menuntut penilaian yang berterusan terhadap realiti semasa.
Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila seorang hakim berijtihad lalu benar, maka baginya dua pahala. Jika dia berijtihad lalu tersalah, maka baginya satu pahala."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lebih-lebih lagi apabila ijtihad itu dilakukan secara kolektif melalui syura. Bahkan Allah SWT sendiri memerintahkan supaya urusan diputuskan melalui musyawarah:
"Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah."
(Ali 'Imran: 159)
Oleh itu, setelah keputusan dibuat melalui saluran parti yang sah, ahli dan pendokong PAS sewajarnya memberikan komitmen untuk melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Perbezaan pandangan sebelum keputusan dibuat adalah lumrah, namun setelah keputusan diputuskan, keutamaan ialah memastikan gerak kerja parti berjalan dengan baik.
Pada masa yang sama, berakhirnya kerjasama rasmi tidak semestinya menutup semua ruang hubungan. Dalam politik, bentuk kerjasama boleh berubah mengikut keperluan dan keadaan. Tidak mustahil PAS dan Bersatu akan kembali bekerjasama pada masa hadapan melalui suatu kerangka atau bentuk hubungan yang baharu.
Ahmad Adnan Fadzil
Ketua DUPNPs.