21/08/2026
Memperkasa Integriti Komuniti: Sinergi SPRM Perlis Bersama Masyarakat Bongor Kudung
SIMPANG AMPAT, 21 Ogos 2026 - Satu usaha murni dalam menyebarkan mesej antirasuah telah dilaksanakan melalui program kesedaran antirasuah bersama key communicator bertemakan “Merdeka Jiwa, Amanah Dijulang: Komuniti Berintegriti, Negara Diberkati”. Program ini merupakan anjuran bersama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis dengan kerjasama Pengurusan Surau Bongor Kudung.
Inisiatif ini dirangka khas bagi memperkukuh peranan aktif masyarakat dalam menyampaikan mesej antirasuah, di samping meningkatkan kesedaran warga setempat—khususnya penduduk di Kampung Bongor Kudong mengenai bahaya serta kesan buruk amalan rasuah kepada diri dan juga komuniti.
Bagi menyemarakkan lagi semangat kebersamaan, program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong memasak (rewang) yang dijayakan bersama oleh warga kerja SPRM Perlis dan penduduk kampung. Aktiviti ini selaras dengan inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC) yang menekankan pembentukan masyarakat yang bersih, berintegriti tinggi serta menolak sebarang bentuk amalan rasuah. Melalui program santai seumpama ini, SPRM Perlis dapat terus mengukuhkan lagi hubungan kerjasama yang erat dengan masyarakat akar umbi.
Selain aktiviti kemasyarakatan, program ini turut diisi dengan pengisian rohani melalui kuliah Maghrib khas bertajuk “Amanah Dijaga, Rezeki Berkat, Rasuah Ditolak”. Perkongsian ilmu ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Raffidzi bin Zainol Abidin, seorang penceramah bebas yang dikenali di negeri ini. Dalam ceramah tersebut, beliau mengupas secara mendalam tentang kepentingan memelihara amanah dan integriti menurut perspektif Islam, serta menjelaskan tanggungjawab setiap individu dan masyarakat dalam bersama-sama memerangi gejala rasuah.