19/10/2025
[LIMA ADUN STAR: ANTARA SETIA KEPADA PERJUANGAN ATAU SETIA KEPADA KESELESAAN?]
Rakyat Sabah sedang memerhati dengan penuh tanda tanya. Apakah perjuangan lima ADUN STAR yang kini meninggalkan DSP Jeffrey Kitingan benar-benar mengikut mandat rakyat atau sebenarnya mengkhianati mandat itu demi kedudukan baru?
Persoalan ini bukan remeh, kerana rakyat tahu siapa yang dahulu berikrar setia bersama Jeffrey dalam membina parti Sabah berteraskan maruah negeri.
Kini mereka berpindah haluan dan rakyat berhak bertanya, adakah perjuangan itu masih hidup, atau sudah dikuburkan oleh kepentingan politik semasa?
Saya melihat langkah ini bukan sekadar pertukaran haluan, tetapi tanda hilangnya arah perjuangan. Apabila pemimpin lebih cepat menukar baju daripada memperjuangkan nasib rakyat, maka politik itu sudah tidak lagi berpaksikan ideologi ia hanya berpaksikan keselesaan.
Saya tidak mahu campur tangan dalam hal rumah tangga parti lain, tetapi sebagai pemerhati matang, kami melihat betapa politik lompat parti telah menjadi barah moral dalam demokrasi Sabah.
Jika pemimpin mudah meninggalkan parti sendiri, bagaimana rakyat boleh yakin mereka tidak akan meninggalkan rakyat p**a apabila keadaan menjadi sukar?
BN Sabah berpegang kepada prinsip kesetiaan bukan slogan, ia adalah jiwa perjuangan. Itulah sebabnya BN tetap kukuh walaupun pernah diuji, kerana kami tidak berpaling arah setiap kali angin bertiup dari arah berbeza.
Rakyat Sabah khususnya di kawasan di mana lima ADUN ini bertanding kini berdepan dilema moral. Mereka bukan sekadar memilih parti, tetapi sedang menilai siapa yang benar-benar berjuang dan siapa yang menjual perjuangan.
Apakah wajar rakyat terus menyokong pemimpin yang meninggalkan asas perjuangan asal DSP Jeffrey? Atau wajar rakyat pertahankan maruah parti yang mereka bina sejak awal?
Saya tidak perlu menjawab, biarlah penyokong mereka sendiri yang berbahas.
Kerana dari perbalahan itu, rakyat akan menilai siapa sebenarnya tulus, dan siapa berpura-pura.
BN Sabah tidak menari mengikut rentak mereka yang menukar haluan setiap musim.
Kami kekal di tengah gelanggang dengan prinsip yang sama politik mesti berpaksikan maruah, bukan peluang.
Dan dalam PRN17 nanti, rakyat sendiri akan menghukum siapa yang mempermainkan kepercayaan mereka. Kerana sekali rakyat hilang kepercayaan, tidak ada kuasa atau dana politik yang mampu membelinya semula.
MOHD NOR ILYAS ABD HADI
Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasioanal Keningau