13/08/2026
Niat di hati hanya mahu membakar timbunan daun kering..
Tetapi apabila ditiup angin kencang?
Sekelip mata marak menjadi sebuah bencana.
Api semasa kecil menjadi kawan, apabila besar ia berubah menjadi lawan yang tidak mengenal belas kasihan.
Cuaca panas, tiupan angin, dan lambakan bahan kering merupakan gabungan paling cepat untuk api merebak di luar kawalan.
Sebahagian besar kes kebakaran terbuka yang diterima oleh BBP Keningau berpunca daripada perbuatan yang sering dianggap remeh seperti membakar sampah atau sisa kebun, membuang puntung rokok merata-rata, serta meninggalkan bara api yang belum dipadamkan sepenuhnya.
Bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini, mohon kerjasama semua untuk menjauhi lima perkara ini:
❌Jangan lakukan pembakaran sampah secara terbuka.
❌Jangan membakar ketika cuaca berangin kuat.
❌Jangan sesekali tinggalkan api tanpa pengawasan.
❌Jangan biarkan sisa bara api tanpa dipadamkan dengan air.
❌Jangan melakukan pembakaran berhampiran dengan rumah atau hutan.
Namun, jika kebakaran sudah pun berlaku dan mula membesar di luar keupayaan anda, jangan ambil risiko.
❌Jangan cuba menjadi wira untuk melawan api yang besar jika tiada peralatan yang sesuai.
Sebaliknya, segera berundur dan jauhkan diri dari lokasi.
Bawa keluarga serta jiran ke kawasan yang selamat, dan terus hubungi pihak bomba di talian 999.
Berikan alamat atau mercu tanda yang jelas bagi memastikan kelancaran pergerakan jentera kami ke lokasi kejadian.
Sikap ambil mudah dalam perkara yang nampak kecil inilah yang selalu mengundang penyesalan besar pada kemudian hari.
Jangan biarkan kelalaian seketika mengorbankan harta benda yang dibina bertahun lamanya.
Cegah sebelum terlambat. Jangan biarkan api kecil menjadi bencana besar.