07/08/2026
Penyusuan susu ibu merupakan pelaburan terbaik untuk kesihatan ibu, anak dan masa depan negara. Berlandaskan aspirasi tersebut, Konvensyen Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) Sabah dan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (MPSI) Sedunia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 telah berjaya menghimpunkan pelbagai pihak dalam memperkukuh komitmen ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong amalan penyusuan susu ibu.
Berlangsung pada 5 hingga 6 Ogos 2026 di Tenom, konvensyen ini menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkasakan penyusuan susu ibu melalui penglibatan Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI), petugas kesihatan, agensi kerajaan, rakan strategik serta komuniti.
Antara pengisian utama yang menjadi tumpuan ialah Train of Hope, satu program unik yang membawa peserta menaiki kereta api dari Tenom ke Pangi sebagai simbol perjalanan, harapan dan sokongan kepada setiap ibu dalam perjalanan penyusuan susu ibu.
Selain itu, Sukaneka Bersama Komuniti, sesi perkongsian ilmu, pertandingan pameran dan inovasi, pembentangan kumpulan AKSSI terbaik, pertandingan fesyen laktasi, pameran kesihatan, saringan kesihatan serta pelbagai aktiviti interaktif turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Kemuncak penganjuran ialah Majlis Perasmian yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Julita Majungki, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap ADUN N5 Matunggong.
Konvensyen ini membuktikan bahawa kejayaan penyusuan susu ibu bukan hanya bergantung kepada ibu semata-mata, malah memerlukan sokongan padu daripada keluarga, komuniti, tempat kerja, petugas kesihatan dan seluruh masyarakat. Semoga jaringan kerjasama yang telah dibina terus diperkukuh dalam usaha melindungi, mempromosi dan menyokong penyusuan susu ibu demi melahirkan generasi Sabah yang lebih sihat, cerdas dan sejahtera.
๐ Satu Negeri. Satu Suara. Satu Komitmen. Sabah Menyokong Penyusuan Susu Ibu.