24/08/2026
𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔
𝗗𝗘𝗪𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗠𝗨𝗗𝗔 𝗣𝗔𝗦 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗨𝗟𝗔𝗨 𝗣𝗜𝗡𝗔𝗡𝗚
𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗧𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗛𝗢𝗠𝗘𝗦𝗧𝗔𝗬 𝗥𝗔𝗞𝗬𝗔𝗧: 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗝𝗔𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗬𝗨 𝗠𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔 𝗗𝗔𝗦𝗔𝗥 𝗟𝗘𝗦𝗘𝗡
Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membela rakyat kecil, bukan sekadar menambah hasil PBT.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang memandang serius penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) 2026 yang mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026.
Pulau Pinang kini menjadi negeri pertama di Malaysia yang menguatkuasakan undang-undang kecil berkaitan tempat inap persendirian, dengan setiap pengusaha diwajibkan mendapatkan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta mematuhi syarat-syarat pengoperasian yang ditetapkan.
Kami tidak menolak keperluan untuk mengawal selia industri penginapan persendirian. Keselamatan, kebersihan, ketenteraman jiran dan pematuhan undang-undang sememangnya perlu dijaga.
Tetapi persoalan kami jelas: jangan sampai atas nama kawal selia, rakyat kecil p**a yang menjadi mangsa.
Ramai pengusaha homestay di Pulau Pinang merupakan usahawan kecil yang menggunakan rumah sendiri, rumah pusaka atau hartanah keluarga sebagai sumber pendapatan tambahan. Mereka bukan syarikat hotel besar, bukan pemaju hartanah dan bukan pemain industri bermodal jutaan ringgit.
Sebahagian mereka hanya mempunyai sebuah rumah atau satu unit yang diusahakan secara kecil-kecilan untuk menampung kos kehidupan, membayar ansuran rumah dan menambah pendapatan keluarga.
Maka, apabila kerajaan memperkenalkan lesen, syarat operasi dan kos pematuhan, persoalan yang wajib dijawab ialah:
Adakah kerajaan benar-benar mengambil kira kemampuan pengusaha mikro dan kecil ini?
Lebih membimbangkan apabila dokumen perancangan MBSP sendiri sebelum ini meletakkan “peningkatan hasil Majlis” sebagai salah satu outcome bagi pewartaan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian.
Kami ingin mengingatkan kerajaan negeri:
Rakyat bukan mesin kutipan hasil PBT.
Jika matlamat penguatkuasaan akhirnya menyebabkan pengusaha kecil terpaksa menanggung lesen, fi, kos pematuhan dan pelbagai keperluan tambahan sehingga operasi mereka tidak lagi berdaya maju, maka dasar tersebut perlu dinilai semula.
Jangan sampai hotel-hotel besar terus berkembang, tetapi homestay milik keluarga Melayu p**a dipaksa gulung tikar.
Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang juga ingin melihat kerajaan negeri mengemukakan data yang jelas:
Berapa jumlah pengusaha TIP di Pulau Pinang? Berapa daripadanya merupakan pengusaha mikro dan kecil? Berapa yang akan terkesan dengan syarat baharu ini? Dan berapakah anggaran kos yang perlu ditanggung oleh sebuah keluarga yang hanya mempunyai satu unit homestay?
Kita tidak mahu dasar dibuat hanya berdasarkan angka hasil dan statistik pentadbiran, sedangkan air mata dan beban rakyat kecil tidak masuk dalam KPI kerajaan.
Kami juga menuntut supaya kerajaan negeri memberikan tempoh peralihan dan pendekatan pendidikan terlebih dahulu, khususnya kepada pengusaha sedia ada, sebelum tindakan penguatkuasaan yang keras diambil.
Pengusaha yang mahu mematuhi undang-undang perlu dibimbing untuk patuh, bukan terus dihukum kerana tidak memahami prosedur baharu.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan:
1. Kadar lesen yang berpatutan untuk pengusaha mikro;
2. Pengecualian atau pengurangan fi bagi pengusaha yang hanya memiliki satu unit;
3. Tempoh peralihan yang munasabah untuk pengusaha sedia ada;
4. Syarat pematuhan yang bersesuaian mengikut skala operasi;
5. Saluran khas aduan dan konsultasi untuk pengusaha kecil; dan
6. Kajian impak ekonomi serta sosial terhadap komuniti tempatan sebelum penguatkuasaan agresif dilakukan.
Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang juga menyeru kerajaan negeri supaya melihat homestay bukan sekadar sebagai premis yang perlu dilesenkan, tetapi sebagai aset ekonomi rakyat.
Garis panduan sedia ada sendiri mengiktiraf bahawa pengoperasian tempat inap persendirian mempunyai kaitan dengan ekonomi setempat. Di Seberang Perai, pengoperasian TIP sebelum ini telah dibenarkan di kawasan komersial dan kediaman.
Maka, janganlah selepas rakyat mengambil risiko membeli rumah, membuat pinjaman, mengubah suai rumah dan berusaha mencari pendapatan sendiri, kerajaan p**a hadir dengan peraturan yang akhirnya mematikan peluang ekonomi mereka.
Kami mahu Pulau Pinang menjadi negeri yang memudahkan rakyat berniaga, bukan negeri yang menambah pagar sehingga rakyat tidak mampu berniaga.
Kerajaan negeri perlu membuktikan bahawa penguatkuasaan ini benar-benar untuk menjaga kepentingan awam dan bukan sekadar menambah hasil PBT.
Jangan sampai “lesen” menjadi alasan untuk menghalang rakyat mencari rezeki.
Jangan sampai homestay rakyat Melayu ditutup, sedangkan ruang ekonomi terus terbuka luas kepada pemodal besar.
Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang akan terus mempertahankan hak rakyat kecil untuk berniaga dan memiliki sumber pendapatan yang halal serta bermaruah.
Bela rakyat. Mudahkan peniaga kecil. Jangan matikan periuk nasi rakyat.
Sekian.
TERUS MEMIMPIN
KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM
𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺 𝗕𝗶𝗻 𝗔𝗻𝗶
𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗲𝗺𝘂𝗱𝗮
𝗗𝗲𝘄𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝘂𝗱𝗮 𝗣𝗔𝗦 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴