04/09/2026
KETUA POLIS DAERAH KLANG SELATAN PERKUKUH COMMUNITY POLICING OSCAR MELALUI LAWATAN KE RUMAH IBADAT
KLANG, 4 September 2026 – YDH ACP Lim Jit Huey, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, bersama pegawai dan anggota IPD Klang Selatan telah melaksanakan Program Lawatan Perpaduan ke empat buah rumah ibadat, iaitu Tokong Thian Hock Kong, Masjid Nurul Iman, Kuil Sri Nagara Thendayuthapani Klang dan Gurdwara Sahib Klang.
Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara PDRM dengan komuniti pelbagai kaum dan agama, di samping meningkatkan kerjasama dalam aspek keselamatan, pencegahan jenayah, ketenteraman awam serta keharmonian komuniti.
Sepanjang lawatan, perbincangan bersama pihak pengurusan rumah ibadat turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan tabung masjid dan sistem kamera litar tertutup (CCTV). Penerangan berkaitan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) turut disampaikan sebagai medium kerjasama komuniti bersama PDRM dalam menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan dan pencegahan jenayah.
Program yang diadakan bersempena Bulan Kemerdekaan ini turut menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat. Selain itu, lawatan tersebut turut menjadi platform YDH ACP Lim Jit Huey, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, memperkenalkan Insp. Aeqbal selaku Ketua Polis Balai Klang yang baharu kepada pihak pengurusan rumah ibadat, di samping memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara PDRM dengan komuniti setempat.
Kerjasama erat antara PDRM dan komuniti amat penting bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara dalam suasana masyarakat yang harmoni.