10/03/2023
*OPERASI PEMERIKSAAN LESEN PREMIS PERNIAGAAN DI KAWASAN PENTADBIRAN MPKB-BRI*
Sepanjang bulan Februari 2023, - Bahagian Penguatkuasaan MPKB BRI telah melaksanakan operasi pemeriksaan lesen premis perniagaan untuk semua aktiviti perniagaan di dalam kawasan pentadbiran MPKB-BRI.
Sepanjang bulan Februari 2023 sebanyak 642 premis telah dilawati merangkumi 3 zon iaitu Zon A, Zon B dan Zon C. Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 90 premis tidak memiliki lesen. 25 premis gagal pamer lesen manakala 37 premis beroperasi dengan lesen sudah tamat tempoh. Premis perniagaan yang dilawati meliputi kawasan pentadbiran Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian.
Pemeriksaan bertujuan memastikan semua premis perniagaan memiliki lesen premis perniagaan dan lesen pengiklanan yang sah sebagaimana yang ditetapkan dibawah Undang Undang Kecil Iklan (Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam) 2019 dan Undang Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam) 2019.
Mana-mana premis yang tidak memiliki lesen premis tahunan yang sah akan dikenakan tindakan kompaun serta notis 14 hari bagi meremedi kesalahan. Sekiranya pemilik terus ingkar, tindakan sitaan akan dikenakan terhadap premis selain pendakwaan di mahkamah.
Tindakan ini dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa dalam kawasan pentadbiran Majlis, di samping memastikan kesejahteraan dan kemakmuran bandar Kota Bharu.