Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan

Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan Halaman Rasmi Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan

28/08/2026
28/08/2026

Bersempena bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, marilah kita menjadikan Maulidur Rasul sebagai ruang untuk menyuburkan kecintaan kepada Baginda ﷺ dengan memahami, menghayati dan mengamalkan sunnah serta ajaran yang telah diwariskan kepada umat ini.

Kecintaan kepada Rasulullah ﷺ hendaklah terzahir melalui ketaatan kepada Allah SWT, kesungguhan mengikuti sunnah, akhlak yang mulia, memperbanyakkan amal soleh dan kesetiaan untuk terus berjalan di atas manhaj yang dibawa oleh Baginda ﷺ.

Semakin dalam cinta kita kepada Rasulullah ﷺ, semakin kuat keinginan kita untuk mencontohi kehidupan Baginda; dalam ibadahnya, akhlaknya, dakwahnya, kesabarannya, kepimpinannya dan pengorbanannya dalam menegakkan agama Allah SWT.

Maka, marilah kita mendidik hati agar sentiasa dekat dengan Rasulullah ﷺ, membasahi lisan dengan selawat dan menjadikan sunnah Baginda sebagai pedoman dalam kehidupan.

ٱللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ مُحَمَّدٍ

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
[Riwayat Muslim (384)]

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita cinta yang membawa kepada ittiba’, hati yang hidup dengan sunnah, jiwa yang teguh dengan perjuangan Islam dan kehidupan yang sentiasa berada di atas jalan Rasulullah ﷺ, serta menghimpunkan kita bersama Baginda ﷺ di dalam syurga kelak. آمين.

12/08/2026
12/08/2026

Persoalan daripada ADN Pengkalan Pasir mengenai hasrat Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Perbadanan Petroleum bagi memperkukuhkan penglibatan Kelantan dalam industri petroleum dan gas telah saya jawab dalam Sidang Dewan Negeri hari ini, khususnya berkaitan usaha memastikan manfaat daripada sumber asli negeri dapat diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Selaras dengan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (PMBK) telah menubuhkan Kelantan Ventures Sdn. Bhd. (KVSB) sebagai syarikat tujuan khas bagi meneroka peluang penyertaan Kelantan dalam industri petroleum dan gas secara lebih tersusun, strategik dan berimpak sebagai langkah awal.

Tumpuan diberikan kepada pembangunan rantaian nilai industri, termasuk supply base, logistik, perkhidmatan sokongan huluan dan hiliran serta sektor tenaga, dengan mengambil kira potensi Tok Bali Supply Base (TBSB), Tok Bali Industrial Park (TBIP) dan integrasi rangkaian logistik ECRL pada masa hadapan.

Pendekatan ini dilaksanakan dalam ruang perundangan yang tersedia, dengan mengambil kira kerangka Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta kedudukan enakmen-enakmen yang terkait.

Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kapasiti, membina jaringan strategik dan meneroka ruang penyertaan yang bersesuaian agar industri petroleum dan gas dapat menjadi salah satu pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri serta memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat Kelantan.

11/08/2026

𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐃𝐀𝐍𝐆-𝐔𝐍𝐃𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐄𝐒𝐀𝐋𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐒𝐘𝐀𝐑𝐈𝐀𝐇 (𝐊𝐄𝐋𝐀𝐍𝐓𝐀𝐍) 𝟐𝟎𝟐𝟔

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Jathiyah, ayat 8:

ثُمَّ جَعَلْنَٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ فَٱتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Kemudian Kami jadikan engkau berada di atas satu syariat daripada urusan agama. Maka ikutilah syariat itu dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.”

Berteraskan tuntutan ayat ini, hari ini saya telah membentangkan Rang Undang-undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 di Persidangan Dewan Negeri Kelantan, iaitu suatu Rang Undang-undang untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan takzir dan hukuman di bawah hukum syarak serta perkara-perkara yang berhubung dengannya.

RUU ini merupakan hasil satu proses ijtihad perundangan yang teliti, dengan mengambil kira hukum syarak, Maqasid Syariah serta perkembangan perundangan semasa. Pendekatan “Pith and Substance” turut diberikan perhatian dengan meneliti intipati sebenar sesuatu kesalahan serta hubungannya dengan perintah agama Islam dan taklifan syarak.

RUU ini mengandungi 9 Bahagian, 62 Fasal dan 1 Jadual dengan beberapa pembaharuan termasuk peruntukan berkaitan kewajipan solat fardu, penjagaan alat kemaluan dan anggota badan, penjagaan akal, hukuman restoratif, mengutamakan hukuman sebatan serta mekanisme kompaun. Setiap peruntukan disusun dengan mengambil kira prinsip syarak, keperluan semasa dan batas bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Sebahagian peruntukan yang dibatalkan dalam kes Nik Elin turut diteliti dan diolah semula berdasarkan ruang kompetensi Dewan Negeri serta taklifan syarak. Dalam masa yang sama, tiga peruntukan tidak digubal semula kerana terdapat peruntukan undang-undang Persekutuan yang sedia mengawalnya.

“Apa yang tidak dapat kita lakukan kesemuanya, janganlah p**a ditinggalkan semua.”

Kelantan akan terus bingkas berdiri kerana menginsafi bahawa menegakkan syariat Allah adalah satu kewajipan. Walaupun kuasa yang ada terbatas dan ruang yang tersedia tidak seluas yang diharapkan, keterbatasan itu bukan alasan untuk berhenti berikhtiar. Apa yang berada dalam kemampuan dan ruang yang dibenarkan, itulah yang terus diusahakan dengan ilmu, ijtihad dan ketelitian perundangan.

InsyaAllah, esok saya akan menyampaikan ucapan penggulungan bagi memberikan penjelasan serta merumuskan perbahasan yang telah disampaikan oleh Ahli-ahli Dewan yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan RUU ini.

Address

Aras 9 MABNA MBI, Kompleks Kota Darulnaim
Kota Bharu
15503

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan:

Shortcuts

Share