07/08/2026
Kita digelar walaun
KOTA BHARU, 6 Ogos - Perlembagaan Parti Islam Semalaysia (PAS) adalah berupa terjemahan daripada nas Al Quran.
Antara perkara yang disebutkan dalam Al Quran tentang persaudaraan dan ketaatan kepada pemimpin keduanya juga tersirat dan termaktub dalam perlembagaan PAS.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian sewaktu mengulas ucaptama Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ahmad Yakob sempena Konvensyen PAS Kelantan yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa.
"Saya nak menyentuh mengenai keahlian PAS, selaras dengan ayat ini, fasal 10 perlembagaan PAS yang mutakhir ini sejak 2025, ada dua keahlian PAS, iaitu yang pertamanya ahli PAS, yang kedua ahli bersekutu PAS.
"Syarat untuk menjadi ahli PAS, warganegara Malaysia, beragama Islam, akil, baligh, serta taat kepada Perlembagaan PAS.
"Saya ingin menarik perhatian syarat untuk menjadi PAS, tiga daripadanya cukup mudah, jadi warganegara Malaysia, jadi Islam, akil baligh menurut hukum syara', kata beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu.
Menurut Takiyuddin, yang payah untuk dipenuhi ialah untuk kita memastikan mentaati perlembagaan dan mengikuti arahan dari semasa ke semasa jika gagal memahami perlembagaan.
Katanya lagi, kerana itulah timbulnya persoalan taat dan walak kalangan ahli, walaupun sehingga dipanggil walaun.
Terdahulu, Pesuruhjaya dalam ucaputama di dewan Putik yang berwajah baru itu, menekankan kepada pencapaian, dasar dan inisiatif kerajaan hendaklah diterjemahkan dalam bentuk manfaat yang benar-benar dirasai oleh masyarakat.
Pada masa yang sama, isu-isu setempat khususnya berkaitan kebersihan, infrastruktur, penyelenggaraan, perkhidmatan awam, perumahan, kebajikan rakyat, pembangunan belia serta pengurusan perbandaran di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah ditangani secara pantas dan berkesan.
"Dewan Ulamak memperkukuh kefahaman Islam dan dasar perjuangan, Dewan Pemuda memimpin penguasaan teknologi, media dan generasi muda, Dewan Muslimat memperkukuh institusi keluarga serta kebajikan masyarakat,
"Dewan Himpunan Pendukung PAS memperluaskan hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum, manakala Assabiqun menjadi sumber pengalaman, nasihat dan kebijaksanaan dalam memperkukuh jamaah.
"Transformasi imej bukanlah sekadar memperbaikipenampilan organisasi, tetapi membina keyakinan bahawa PAS Kelantan kekal relevan, cekap mentadbir, dekat dengan rakyat dan bersedia meneruskan amanah memimpin negeri," kata Ahmad yang juga Ahli Dewan Negeri Pasir Pekan.
Konvesyen PAS Kelantan yang memghimpunkan jentera PAS dari seluruh negeri dihadiri lebih 1300, turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar Abdullah.
Ucap Timbalan Mursyidul Am PAS itu lagi, rakyat, pihak berkuasa tempatan, ahli-ahli majlis, penghulu, agensi pelaksana di peringkat jajahan serta Urus Setia Kerajaan Negeri hendaklah bergerak secara bersepadu dan menjadi jambatan kerajaan dan parti bagi mengenal pasti, menyelaras serta menyelesaikan setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat.
Katanya, kecekapan menyelesaikan masalah rakyat bukan sahaja mencerminkan kewibawaan pentadbiran kerajaan, bahkan menjadi bukti bahawa dasar Membangun Bersama Islam benar-benar diterjemahkan dalam tindakan, seterusnya memperkukuh keyakinan dan kepercayaan rakyat.