05/08/2026
LAPORAN RINGKAS SESI FAMILIARISASI SISTEM PENGURUSAN PEMBAYARAN ELAUN GURU TAKMIR MALAYSIA (myTAKMIR) BILANGAN 2 TAHUN 2026
Sesi Familiarisasi Sistem Pengurusan Pembayaran Elaun Guru Takmir Malaysia (myTAKMIR) Bilangan 2 Tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan bertempat di Masjid Jamek Sultan Yahya Petra, Machang, Kelantan. Sesi taklimat dan bimbingan teknikal bagi program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan komprehensif, kefahaman teknikal, dan panduan praktikal mengenai fungsi serta kaedah penggunaan sistem myTAKMIR yang baharu. Fokus utama sesi ini adalah untuk memastikan kelancaran proses tuntutan, pengesahan, dan penyaluran elaun bulanan guru takmir agar lebih efisien, telus, dan menepati garis panduan kewangan semasa melalui transisi digital.
Sesi ini dihadiri oleh peserta daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU JPM Negeri), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) Serta Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dari negeri Terengganu dan Kelantan. Beberapa orang guru takmir turut dijemput hadir bagi melancarkan proses Familiarisasi Sistem MyTakmir sebagai pengguna akhir sistem ini. Kehadiran menyeluruh daripada kedua-dua negeri Pantai Timur ini membuktikan komitmen yang tinggi dalam menyelaraskan pengurusan data dan meminimumkan ralat tuntutan di peringkat akar umbi.
Sepanjang sesi berlangsung, pihak ICU JPM telah membimbing para peserta mengenai pengenalan sistem myTAKMIR, kaedah log masuk kali pertama, dan tatacara penggunaan keseluruhan sistem. Selain itu, latihan praktikal simulasi aliran kerja turut dijalankan agar semua penggunan sistem memahami aliran kerja sistem sehingga kelulusan tuntutan dan pembayaran dibuat.
Secara keseluruhannya, program bimbingan oleh ICU JPM ini telah mencapai objektifnya dalam meningkatkan kemahiran digital para peserta dan mewujudkan keseragaman tatacara pengurusan tuntutan elaun guru takmir di seluruh malaysia. Kejayaan sesi familiarisasi ini diharapkan dapat memperkasakan tadbir urus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, sekali gua memastikan kebajikan guru takmir sentiasa dipelihara melalui sistem pembayaran yang lebih sistematik dan tepat pada masanya.