26/01/2026
Pelaporan berita oleh Pusat Khidmat DUN (PKD) perlu disusun secara lebih sistematik dan menepati format media arus perdana bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, menyeluruh serta dilihat lebih profesional.
Pengamal media, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pendekatan tersebut penting agar laporan yang diterbitkan bukan sahaja memenuhi kehendak pembaca, malah mampu membina kepercayaan terhadap kredibiliti media PKD.
Beliau yang juga Pengarah PKD Bunut Payong berkata demikian ketika membentangkan modul latihan kepada petugas media Kota Lama dalam satu bengkel yang diadakan di PKD Kota Lama, baru-baru ini.
Menurut Nasruddin, media hari ini perlu lebih terbuka dan tidak lagi terikat dengan kandungan bersifat lama semata-mata.
“Kita perlu berani mencipta kandungan yang lebih kreatif, berinovasi dan mampu menarik minat orang ramai untuk mengikuti apa yang kita siarkan,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya pendekatan lama yang terlalu rigid masih dipertahankan dalam arus perkembangan teknologi maklumat yang pesat, media akan ketinggalan dan gagal menyampaikan mesej dengan berkesan.
“Jika kita terus berpegang kepada cara lama, kita akan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan dan akhirnya ketinggalan,” jelasnya.
Bengkel separuh hari itu turut dihadiri Ketua Penerangan PKD Kota Lama, Nik Hazim Nik Rashid.
Sementara itu, Pegawai Media PKD Bunut Payong, Nik Ikhwan Na’ Hazani dalam perkongsiannya menekankan kepentingan aspek reka bentuk poster serta teknik pengambilan gambar yang betul dalam penghasilan bahan media.
“Seorang jurugambar mempunyai kebebasan bergerak tanpa batasan, justeru dia perlu bijak memilih posisi yang terbaik bagi menghasilkan visual yang berkualiti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keberanian untuk memulakan sesuatu idea kreatif amat penting dalam dunia media.
“Dalam apa jua kandungan kreatif, kita perlu berani mencubanya. Jika tidak bermula, sampai bila-bila kita tidak akan melangkah ke hadapan dan membiasakan diri tampil di hadapan khalayak,” katanya.
Menurutnya lagi, apabila seseorang petugas media telah biasa dengan tugasan dan rutin kerja, proses penghasilan kandungan akan menjadi lebih mudah dan lancar.