07/07/2026
π LAWATAN KERJA RASMI TIMBALAN KETUA PENGARAH KESIHATAN (KESIHATAN PERGIGIAN) KE NEGERI KELANTAN | HARI KETIGA
07 Julai 2026 | Selasa
Hari ketiga Lawatan Kerja Rasmi YBhg. Dr. Fauziah Binti Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian), Kementerian Kesihatan Malaysia diteruskan dengan lawatan ke beberapa lokasi di daerah Bachok dan Pasir Puteh bagi meninjau pelaksanaan program kesihatan pergigian serta pembangunan fasiliti perkhidmatan pergigian di Negeri Kelantan.
Lawatan dimulakan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chengal, Bachok bagi memantau pelaksanaan Program School-Based Fluoride Mouth Rinse (FMR) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2023. Program ini merupakan antara inisiatif pencegahan karies dalam kalangan murid sekolah melalui aktiviti kumuran fluorida secara berkala. Sepanjang lawatan, pencapaian pelaksanaan program turut dibentangkan kepada pihak pengurusan sekolah, di samping sesi perbincangan bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan program dapat diperkasakan demi meningkatkan tahap kesihatan pergigian murid.
Seterusnya, lawatan diteruskan ke Klinik Pergigian di Klinik Kesihatan Cherang Ruku, Pasir Puteh bagi meninjau hasil projek renovasi klinik yang kini tampil dengan wajah baharu. Penambahbaikan kemudahan dan persekitaran klinik ini diharapkan dapat meningkatkan keselesaan pesakit serta menyediakan suasana kerja yang lebih kondusif kepada warga kesihatan, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan pergigian yang lebih berkualiti.
Lawatan diakhiri di Klinik Pergigian Klinik Kesihatan Pasir Puteh, di mana YBhg. Dr. Fauziah telah meninjau pelaksanaan perkhidmatan pergigian serta berinteraksi dengan warga kerja bagi mendapatkan maklum balas berhubung pencapaian, cabaran semasa dan keperluan penambahbaikan dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dr. Fauziah Binti Ahmad atas kesudian mengadakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Negeri Kelantan. Semoga segala pandangan, cadangan dan dapatan sepanjang lawatan ini menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan serta memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian yang berkualiti, berdaya saing dan berorientasikan rakyat.